Pendapat

PERBINCANGAN KHAS ADALAH PREROGATIF YANG DI-PERTUAN AGONG – Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Tindakan mana-mana pihak yang mempertikai prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil perbincangan khas Yang di-Pertuan Agong dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada 16 Jun 2021 menunjukkan pengabaian kepada prinsip kedaulatan negara dalam pentafsiran Perlembagaan.

Melandaskan amalan Westminster secara membuta-tuli dan pemakaian prinsip kedaulatan di England secara bebas untuk mentafsirkan sistem demokrasi di Malaysia adalah bercanggah dengan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang menjamin prerogatif SPB Agong dan Raja-Raja Melayu. Sistem demokrasi Berperlembagaan di Malaysia tidak mutlak serta tertakluk pada prinsip Kedaulatan Raja-Raja dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Demokrasi berparlimen bukan prinsip kedaulatan negara kita.

Prinsip kedaulatan negara secara nyata terpasak pada Jadual ke-IV iaitu sumpah Yang di-Pertuan Agong, Perkara 3(1) dan Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan. Selagi tidak dibataskan oleh peruntukan Perlembagaan, SPB Agong mempunyai prerogatif untuk menentukan bagaimana prinsip kedaulatan, iaitu Islam dan suatu pemerintahan yang adil dapat dilaksanakan.

Perlembagaan Persekutuan menetapkan prerogatif dan bidang kuasa Majlis Raja-Raja begitu juga prerogatif dan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Prinsip Keluhuran Perlembagaan dijamin oleh Perkara 4 yang mengatasi nasihat eksekutif, membataskan kuasa perundangan Parlimen dan menetapkan prinsip pentadbiran keadilan.

Untuk memahami apa yang dilakukan oleh SPB Agong dan persetujuan Majlis Raja-Raja untuk menghadiri perbincangan khas pada 16 Jun 2021, ada dua perkara pokok yang perlu difahami.

Pertama, Mesyuarat Majlis Raja-Raja boleh diadakan untuk membincangkan perkara-perkara yang jatuh di bawah bidang kuasanya.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja boleh dipanggil oleh Penyimpan Mohor Besar atas kuasa budi bicara SPB Agong atau tidak kurang daripada tiga orang anggota Majlis Raja-Raja untuk merundingi apa-apa perkara, termasuklah yang semata-mata berkaitan dengan keistimewaan, kedaulatan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, atau dengan perbuatan, amalan atau upacara agama. Dalam perkara-perkara yang menyentuh Perkara 38(4), SPB Agong boleh memanggil mesyuarat Majlis Raja-Raja tanpa perlu mengikut nasihat Perdana Menteri kerana itu secara jelas terjumlah dalam perkara yang dijamin oleh Perkara 40(2)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Kedua, dalam melaksanakan suatu perkara di bawah prerogatif dan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan, Baginda tidak tersyarat dengan prosiding mesyuarat Majlis Raja-Raja. Baginda mempunyai prerogatif untuk mengadakan perbincangan dengan Majlis Raja-Raja atau siapa sahaja demi memelihara kepatuhan pada sumpah berjawatan Yang di-Pertuan Agong, iaitu Islam dan bagi maksud pemerintahan yang adil.

Selagi tiada peruntukan secara nyata dalam peruntukan Perlembagaan yang membataskan tatacara pelaksanaannya, prinsip kedaulatan seperti terkandung dalam Jadual IV, Perkara 3(1) dan Perkara 181(1) adalah terpakai.

Perbincangan khas pada 16 Jun ini merupakan hasrat SPB Agong untuk merundingi Raja-Raja Melayu tentang perkara penting yang berada dalam kewajipan Baginda di bawah Perlembagaan, bukan di bawah Perkara 38. Justeru, prosiding yang menyentuh urusan di bawah Perkara 38 tidak berkaitan atau mengikat di sini.

Apa yang hendak dilakukan oleh SPB Agong pada 16 Jun adalah amalan syura yang bertepatan dengan intipati sumpah jawatan Baginda.

Justeru, tindakan SPB Agong dan persetujuan Raja-Raja yang telah memberi perkenan untuk mengadakan perbincangan khas perlu disanjung serta dilihat dari sudut kecaknaan baginda-baginda untuk memelihara kepentingan rakyat keseluruhannya tanpa dibatasi fahaman kepartian.

Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain
Pengasas Jurisprudens Watan merangkap Pengarah Institut Tamadun & Kajian Strategik, UMP (ITKAS)

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: