Tempatan

Perkara 3(4) Tidak Bermaksud Kekang Perkara 3(1) – Wan Ahmad Fauzi

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 03 April 2022 – Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain baru-baru ini menjelaskan bahawa ramai pengamal undang-undang terkhilaf apabila menganggap Perkara 3(4) mengehadkan peruntukan 3(1): Islam agama Persekutuan.

Jelasnya, Perkara 3(4) hanya menyatakan bahawa Perkara 3(1) tidak mengurangkan peruntukan-peruntukan lain dalam Perlembagaan, tetapi ia tidaklah sehingga menjadikan peruntukan 3(1) lebih rendah berbanding peruntukan lain.

“Ia (peruntukan 3(4)) mengatakan peruntukan Perkara 3(1) tidak mengurangkan peruntukan-peruntukan lain.”

“Ia tidak mengatakan Perkara 3(1) menjadi rendah berbanding peruntukan-peruntukan (Perlembagaan) lain,” tegasnya.

Perkara 3(4) Perlembagaan Persekutuan adalah sebuah penjelasan kepada peruntukan yang menetapkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Perkara 3(4) menyebut:

“Tiada apa-apa jua dalam ini mengurangkan mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini”.

Beliau turut menekankan supaya pengamal undang-undang dan ahli akademik untuk mengkaji terlebih dahulu sejarah perundangan yang menyebabkan sesebuah undang-undang terhasil, terutamanya dalam memahami Perlembagaan.

Perkara 3(1) dan (4) menjelaskan dua perkara pokok iaitu pertama kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan agama Negeri.

Kedua, kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan tidak menjejaskan jaminan kebebasan asasi yang diperuntukkan dalam Perkara 5 hinga 13 Perlembagaan Persekutuan.

“Pada peringkat awal Raja-Raja bimbang kalau diletak Islam agama Persekutuan, nanti kesemua bidang kuasa Islam dipindahkan kepada Persekutuan. Jadi Raja tidak lagi jadi ketua agama Islam,” jelasnya ketika menghadiri ‘Konvensyen Perundangan 2022: Mengarusperdanakan Syariah’ anjuran PEMBELA.

Leave a Reply

Back to top button