Tempatan

Muktamadkan Segera Teks Sahih Dalam Bahasa Melayu Seperti Diperuntukkan Perlembagaan – Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

PAHANG, 01 Disember 2021 – “Apa yang perlu dilakukan sekarang dengan segera, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) sebagai pihak berkuasa Bahasa Melayu perlu diberikan kepercayaan oleh kerajaan dengan Pejabat Peguam Negara untuk memuktamad teks sahih dalam Bahasa Melayu seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” kata Profesor Madya Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

“Walaupun teks sahih bagi Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Inggeris, tetapi itu tidak bermakna kita belum ada teks yang diterbitkan oleh Pejabat Peguam Negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut berhubung isu teks sahih Perlembagaan Persekutuan yang masih dalam Bahasa Inggeris dan bukan Bahasa Melayu yang sedang hangat diperkatakan sekarang.

Ketika ditanya mengapa teks sahih bagi Perlembagaan Persekutuan masih dalam Bahasa Inggeris walaupun Malaysia sudah 64 tahun mencapai kemerdekaan, beliau menjelaskan bahawa sebenarnya kita hanya perlukan proses ke arah itu.

Ujar pengasas Jurisprudens Watan itu lagi, jika kita amati peruntukan Perkara 160B, Jemaah Menteri boleh menyembahkan nasihat teks yang diperakui oleh DBP untuk ditetapkan oleh YDPA Agong sebagai teks sahih.

“Menteri yang diamanahkan perlu proaktif. Perkara 160B telah memperuntukkan, “Jika Perlembagaan ini telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Kebangsaan, Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan teks Bahasa Kebangsaan itu sebagai teks sahih, dan selepas itu, jika ada percanggahan atau perselisihan antara teks Bahasa Kebangsaan itu dengan teks Bahasa Inggeris Perlembagaan ini, maka teks Bahasa Kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks Bahasa Inggeris itu”.”

Difahamkan, teks dalam Bahasa Kebangsaan sudah pun disahihkan lama dahulu, tetapi yang menjadi persoalan adalah, mengapa pihak yang bertanggungjawab seolah-olah tidak berminat dengan Bahasa Melayu.

Kata Dr Wan Ahmad Fauzi, beliau sendiri tidak dapat memastikan perkara itu kerana persoalan itu perlu dijawab sendiri oleh mereka yang dipertanggungjawabkan.

“Saya tidak pasti sama ada perkara ini berlaku dengan sengaja atau tidak.”

Tambah beliau, kerajaan boleh mengambil tindakan segera untuk melantik Jawatankuasa Khas yang diketuai oleh DBP di mana anggota-anggotanya terdiri daripada wakil Majlis Raja-Raja, wakil Pejabat Peguam Negara, pakar undang-undang dan pakar bahasa untuk membuat semakan akhir.

“Apa yang harus dipastikan biarlah terjemahan itu perlulah betul-betul terjemahan, bukanlah tafsiran,” tegas beliau.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: