Tidak Wajar Guna Hak Kebebasan Asasi Halang Asimilasi Bahasa Melayu – Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 15 Jun 2022 – “Tiada pihak yang wajar menggunakan premis hak kebebasan asasi untuk menghalang asimilasi Bahasa Melayu selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa Kebangsaan menurut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan,” ujar Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.
Menurutnya, di mana-mana bahagian dunia sekalipun, status bahasa Kebangsaan sesebuah negara berdaulat dihormati bukan sahaja oleh warganegaranya, malah pihak yang berurusan dengannya.
Jelas beliau, inilah integriti, meskipun kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan sudah terpasak kemas dalam Perlembagaan Persekutuan, setiap kelahiran baharu anak bangsa Malaysia perlu dibajai dengan semangat patriotisme untuk mempertahankan amalannya.
Pengasas Jurisprudens Watan berkhidmat di Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu mengingatkan bahawa bahasa merupakan jiwa bangsa. Maka, di sinilah letaknya kepentingan Bahasa Melayu sebagai wadah kesatuan yang tidak membezakan antara warganegara Malaysia.
Tambah beliau lagi, dalam pembelajaran Bahasa Melayu, setiap warganegara dapat memahami asal usul negara serta jati dirinya melalui mata pelajaran Kesusasteraan selain Sejarah dan Ketamadunan Melayu.
Ketika ditanya mengenai bagaimana status Bahasa Melayu di bumi Sabah dan Sarawak, Dr Wan Ahmad Fauzi menjelaskan ianya tertakluk kepada Dun Sabah dan Sarawak mengadaptasikan akta bahasa Kebangsaan ini.
Namun, persoalannya masih ada di kalangan pemimpin yang mereka tak kisah dengan penggunaan Bahasa Melayu dan hanya menekankan Bahasa Inggeris sehingga kini.
Dr Wan Ahmad Fauzi menjelaskan, perlu ditekankan hal ini adalah antara 20 Perkara dalam Perlembagaan yang dijanjikan dalam MA63.
Bagaimanapun, beliau tetap memberi saranan supaya orang Sabah dan Sarawak terus berusaha bersama-sama mengangkat bahasa Kebangsaan ke tempat selayaknya.
Jelas beliau lagi, semua pemimpin perlu utamakan perpaduan nasional dan isu bahasa ini sudah tentu tidak wajar dipolitikkan.
Menurutnya, dengan bahasa tiada siapa didiskriminasikan kerana negara berdaulat pasti ada bahasa Kebangsaan tersendiri dan yang pasti bahasa Kebangsaan kita bukan asing sebab kita tetap di alam Melayu.
Tambah Dr Wan Ahmad Fauzi, bangsa bertamadun mempunyai bahasa pertuturan dan tulisan mantap yang digunakan secara meluas tidak terhad kepada ahli kumpulannya sahaja.
Jelasnya, keupayaan suatu kaum, kumpulan etnik dan masyarakat yang berkembang menjadi satu bangsa untuk terus hidup sehingga hari ini tidaklah mudah.
“Banyak kumpulan etnik dianggap pupus ditelan zaman kerana tewas dalam pelbagai bentuk persaingan dan antara pengenalan atau jati diri yang menyerlahkan suatu kumpulan etnik dan bangsa ialah bahasa dan tulisan yang dimilikinya,” ujar beliau.
Maka, hanya bangsa berdaulat yang masih mengekal atau berupaya mencipta ketamadunan, memanfaatkan sumber kekayaan, khazanah ilmu, kepakaran dan secara umumnya keistimewaan tertentu akan terus dihormati oleh dunia luar.
“Suka saya ingatkan bahawa bangsa itu juga tidak pupus sekiranya ia masih mengekalkan jati diri watannya. Nilai watan sesebuah negara menjadi teras untuk menguruskan kepelbagaian dari aspek agama, bahasa, budaya, perkauman, keturunan dan semangat kedaerahan bagi pembinaan negara bangsa yang sejahtera,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa seorang warganegara perlu berbangga dengan jati diri tanah airnya sendiri.
Menurutnya, orang yang celik sejarah akan lebih menghargai Bahasa Melayu. Belum terlewat bagi setiap warganegara Malaysia untuk mengambil tindakan proaktif mengembalikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sekaligus mendukung wawasan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam pemartabatannya sebagai bahasa kedua ASEAN.
Jelasnya, keupayaan untuk melestari serta menjelmakan negara bangsa sendiri di mata dunia merupakan mercu tanda ketamadunan anak bangsanya.
Sudah pasti, negara bangsa itu ialah sebuah negara yang mendukung sistem politik, perundangan, adat, nilai hidup dan budaya berevolusi daripada unsur jati diri bangsa asal serta tidak bercanggah dengan prinsip kedaulatan yang terpasak dalam Perlembagaannya.
“Itulah teras kepada watan sebuah negara,” tegasnya.
“Seorang warganegara yang berintegriti tidak akan memutarbelitkan usaha murni Kerajaan untuk meletakkan bahasa Kebangsaan ke tempat sewajarnya,” ujar beliau mengakhiri kenyataan.