Wakil Rakyat Harus Hadiri Program Komuniti LGBT – Chong Yee Shan (Parti Sosialis Malaysia)
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 14 Julai 2021 – Chong Yee Shan, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendesak para pemimpin di negara ini untuk menghadiri program dan dialog bersama tokoh-tokoh LGBT.
Ini bagi memastikan para pemimpin dapat mendengar sendiri akan kehendak komuniti LGBT yang tidak mahu orientasi seksual tidak normal mereka dipulihkan.
“Wakil-wakil rakyat dan Ahli-ahli Dewan Negara harus menghadiri program-program dan dialog bersama komuniti LGBT untuk memahami isu-isu mereka. Komuniti LGBT memerlukan hak saksama dan bukannya pemulihan,” tegas beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan dalam laman web sosialis.net.
Chong Yee Shan juga menegaskan kecaman PSM terhadap cadangan Ahli Dewan Negara, Datuk Razali Idris bagi mewujudkan pusat tahanan dan pemulihan khas kepada golongan LGBT.
Datuk Razali Idris telah mengemukakan cadangan tersebut sebagai respon kepada ketidakpuasan hati rakyat terhadap ancaman perilaku seksual melampau oleh tokoh-tokoh golongan LGBT.
Antara kes terbaru melibatkan seorang jutawan kosmetik pondan bertindak lucah secara langsung di media sosial, serta secara terbuka melakukan perbuatan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki di bawah umur.
Menurut Datuk Razali Idris, pusat pemulihan sebegini adalah suatu keperluan memandangkan terdapat golongan LGBT yang secara berani bertindak melampau menghasut dan mencabar pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas mereka.
“Perbuatan melampau sehingga mengganggu ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat terutama di media sosial ini adalah suatu perkara yang tidak boleh diterima dalam masyarakat Malaysia.”
“Masyarakat tidak boleh membiarkan kebiadaban golongan LGBT ini yang begitu terbuka dan berleluasa.”
“Justeru Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mencadangkan keperluan mewujudkan pusat tahanan dan pemulihan khas LGBT bagi merawat dan membimbing golongan itu ke arah kebaikan, kerohanian dan kesejahteraan rakyat,” kata beliau.
Walau bagaimanapun, hasrat Ahli Dewan Negara ini ditolak oleh PSM kerana menurut Chong Yee Shan, cadangan tersebut “telah melanggar Perkara 5, 8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan, di mana termaktubnya bahawa semua orang berhak dan dijamin hidup dengan aman dan dilayan sama rata tanpa diskriminasi, serta dijamin hak untuk mengekspresikan pendapat, termasuk cara pembawaan diri.”
Menurut Chong Yee Shan lagi, “Cadangan ini adalah amat bahaya sebab ia menimbulkan kebencian dan keganasan terhadap golongan minoriti yang mana telah pun berada dalam keadaan yang bahaya.”