Tempatan

Iktiraf Transgender Selari Dengan Ajaran Islam – Zaid Malek LFL

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR –  Penyelaras Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek menegaskan bahawa pengiktirafan dan perlindungan untuk golongan LGBT bukan sahaja tidak bertentangan dengan ajaran Islam malah melindungi mereka adalah mandatori di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara ini dengan jelas melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Golongan LGBT beragama Islam berhak untuk dilayan sama rata di mata undang-undang dan sepatutnya dilindungi daripada undang-undang yang mensasarkan mereka hanya kerana orientasi seksual mereka.”

Kenyataan ini dikeluarkan sebagai jawapan balas terhadap kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary semalam, bahawa kerajaan berhasrat menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dengan meningkatkan had hukuman bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Dakwa penyelaras kumpulan pendesak hak asasi itu lagi, golongan LGBT menjadi sasaran ahli politik bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada melihat isu mendesak yang berlaku di Malaysia seperti isu kartel daging.

“Ini tidak lain tidak bukan hanyalah satu mainan politik murahan untuk mengalihkan perhatian daripada isu-isu sebenar yang sedang berlaku di Malaysia.”

“Lebih-lebih lagi apabila kita melihat umat Islam Malaysia masih lagi terkejut dan bingung dengan pendedahan isu kartel daging halal yang sudah berlarutan selama 40 tahun di negara ini; namun, isu LGBT juga yang menjadi sasaran,” dakwanya.

Oleh itu, LFL menggesa kerajaan dan pihak berkuasa untuk berhenti menekan dan menyasarkan komuniti LGBT.

“Apa yang jelas, ia (hukuman Akta 355) adalah satu serangan yang sengaja disasarkan kerajaan terhadap golongan LGBT beragama Islam bagi menyerang hak dan privasi mereka dan menyukarkan hidup mereka.”

“Kami menggesa pihak berkuasa untuk berhenti menggunakan komuniti LGBT sebagai tempat melepaskan geram demi mewujudkan ilusi kebenaran dan ketakwaan yang palsu oleh sesetengah parti politik yang berada dalam kerajaan pemerintah.”


Bukan itu sahaja, LFL juga mendesak kerajaan untuk mengikut jejak langkah negara Islam lain yang mengiktiraf golongan LGBT.  

“Kami menggesa kerajaan untuk tidak mengambil pandangan yang terbatas dalam perundangan Islam dan mendesak kerajaan untuk menurut jejak langkah negara Islam lain yang telah mengiktiraf hak komuniti transgender. Mesir dan Iran telah mengeluarkan fatwa sejak tahun 1980 yang membenarkan pembedahan menukar jantina, malah, Pakistan juga telah menggubal undang-undang hak transgender, Akta Orang-Orang Transgender 2018 (Perlindungan Hak-Hak) yang secara rasminya mengiktiraf hak transgender di Pakistan.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: