Konsert The 1975: Aktivis LGBT Gesa Gugurkan Pertuduhan Pada Penganjur Serta-Merta
KUALA LUMPUR, 27 Julai 2023 – Justice for Sisters (JFS), sebuah kumpulan hak asasi manusia LGBT dalam satu kenyataan menggesa pihak Kerajaan agar menggugurkan serta-merta semua pertuduhan terhadap penganjur Good Vibes Festival (GVF).
Dalam kenyataan tersebut, JFS turut memperakui bahawa kritikan kumpulan band itu kepada Kerajaan Malaysia berhubung sekatan terhadap golongan LGBT adalah benar.
“Ia adalah hasil daripada tindakan negara ini sendiri yang meningkatkan sekatan ke atas golongan LGBTIQ, yang telah diperluas kepada warga asing dan bukan warganegara sejak kebelakangan ini. Ini membuktikan dengan larangan kemasukan artis LGBTIQ untuk membuat persembahan di Malaysia, penapisan penerbitan dan filem, serbuan seluruh negara ke atas jam tangan Swatch bertemakan ‘Pride’ dan yang terbaru larangan ‘cross-dressing’ oleh penghibur lelaki.”
Kata JFS, tindakan Kementerian Komunikasi dan Digital untuk menyenaraihitamkan kumpulan berkenaan dalam tempoh yang tidak ditentukan, membatalkan festival, melancarkan siasatan ke atas penganjur di bawah pelbagai peruntukan Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Kecil serta meneliti semula proses saringan Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) dan keperluan untuk artis asing disifatkan sebagai sudah berlebihan.
BACA JUGA: Kumpul Data: Facebook Didenda RM56 Juta Oleh Mahkamah Australia
BACA JUGA: Pekerja Gig Layak Terima Gaji Minimum & Manfaat Lain – Penganalisa
Dalam masa yang sama, JFS turut menyatakan bahawa mereka terkejut dengan kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang mempertahankan tindakan pihak Kerajaan berhubung insiden di festival berkenaan.
Menurutnya, SUHAKAM seharusnya bersuara demi memastikan Kerajaan tidak bertindak sewenang-wenangnya dan tidak berat sebelah atas alasan melindungi budaya, akhlak awam dan ketenteraman awam.
“Kami bimbang bahawa tindak balas berat sebelah itu akan menjadi contoh baharu untuk menyekat kebebasan bersuara dan membungkam sebarang jenis kritikan terhadap kedudukan Kerajaan, terutamanya dalam isu LGBTIQ.”
Sehubungan itu, JFS turut menyeru agar pihak Kerajaan mengkaji semula penjenayahan dan sekatan terhadap golongan LGBTIQ sama ada warganegara atau bukan warganegara.