Pendapat

LGBT DAN KEDUDUKANNYA DI MALAYSIA

Walaupun tidak menggunakan nama LGBT secara spesifik, gerakan menyokong agenda LGBT ini telah lama bermula dengan sejarah yang cukup panjang dan perkembangan dari semasa ke semasa. Sekitar abad ke-18 dan abad ke-19 di Eropah, hubungan homoseksual adalah dianggap sebagai satu kesalahan jenayah yang serius dan dianggap sebagai perbuatan yang tidak bermoral di sisi masyarakat.

Di England terdapat undang-undang yang menghukum perlakuan homoseksual dan perundangan ini berubah mengikut zaman. Pada awalnya, undang-undang Buggery Act 1533, ketika zaman Raja Henry VIII memperuntukkan kesalahan homoseksual boleh dihukum bunuh. Perundangan telah diubah dengan Offences Against The Person Act 1861 yang memperuntukkan kesalahan homoseksual kepada penjara seumur hidup. Seterusnya, hukuman ini lebih ringan melalui Seksyen 11 Criminal Law Amendment Act 1885 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 2 tahun bagi kesalahan lelaki melakukan kelucahan melampau gross (indecency).

Akhirnya, Sexual Offences Act 1967 telah memansuhkan kesalahan jenayah homoseksual antara lelaki yang telah mencapai umur 21 tahun. Ini jelas menunjukkan bahawa negara Barat pada mulanya tidak menerima perbuatan homoseksual dan perlakuan berkaitan LGBT. Namun secara perlahan, masyarakat Barat yang tidak menolak perbuatan homoseksual mula menerimanya sebagai sebahagian daripada hak individu.

Pengiktirafan Perkahwinan Sejenis merupakan salah satu daripada agenda golongan LGBT. Walaupun hampir semua agama tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis, sedikit demi sedikit pelbagai negara mula mengiktiraf perkahwinan sejenis.

Belanda adalah negara pertama yang membenarkan perkahwinan sejenis pada tahun 2001. Setakat 2014, perkahwinan sesama jenis juga diiktiraf di Sweden, Argentina, Belgium, Kanada, Iceland, Norway, Afrika Selatan, Sepanyol, Portugal, Denmark, Uruguay, Brazil, Perancis, New Zealand, Mexico dan Israel (walaupun tidak dilakukan di sana), bersama-sama dengan dua puluh lima buah negeri di Amerika Syarikat: Massachusetts, Iowa, Connecticut, Vermont, New Hampshire, New York, Maine, Maryland, Washington, Minnesota, New Mexico, Rhode Island, Delaware, California, New Jersey, Hawaii, Illinois, New Mexico, Utah, Oklahoma, Virginia, Oregon, Pennsylvania, Wisconsin, Indiana dan Colorado serta Daerah Columbia.

Golongan LGBT telah mendapat kejayaan besar dengan keputusan Mahkamah berkenaan perkahwinan sejenis di Amerika Syarikat malah pentadbiran Presiden Biden juga melantik pengamal LGBT sebagai pegawainya.

Dalam kes yang dikenali sebagai kes Obergefell v. Hodges, Aktivis LGBT, John Arthur telah berkahwin dengan pasangan sejenis James Obergefell di Maryland, Amerika. Kemudian John Arthur telah meninggal dunia.

Obergefell memfailkan permohonan untuk mendapatkan pengesahan beliau dinamakan sebagai waris dalam Sijil Mati Arthur. Namun pendaftar di negeri Ohio tidak dapat meluluskannya kerana Pejabat Penasihat Undang-Undang negeri Ohio mengumumkan rancangan meneruskan larangan perkahwinan sejenis di Ohio, Amerika.

Pada 26 Jun 2015, Mahkamah dengan majoriti 5-4 memutuskan bahawa berdasarkan Pindaan Keempat Belas (Fourteenth Amendment) semua negeri di Amerika Syarikat diarahkan untuk membenarkan perkahwinan sejenis dan mengiktiraf perkahwinan sejenis yang dijalankan di negeri lain.

Di Malaysia, tiada peruntukan perundangan spesifik terhadap gerakan LGBT. Namun perbuatan homoseksual dan seksual di luar tabii merupakan satu kesalahan berdasarkan undang-undang di Malaysia.

Merujuk kepada undang-undang Jenayah Sivil, Seksyen 377B Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa “Sesiapa yang melakukan hubungan seks luar tabii secara sukarela, akan dihukum penjara maksima 20 tahun, termasuk sebatan”.

Selanjutnya, bagi kesalahan yang melibatkan orang Islam, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan-kesalahan yang berkaitan perlakuan LGBT.

Antara kesalahan jenayah Syariah di Wilayah Persekutuan yang melibatkan LGBT adalah seperti perbuatan liwat, Musahaqah (melakukan hubungan sejenis antara perempuan dengan perempuan dan perbuatan orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak bermoral. Namun kesalahan liwat ini telah diisytihar tidak berperlembagaan dan tidak sah di Selangor. Nasib kesalahan melanggar perintah agama Islam yang lain di negeri-negeri masih lagi menjadi tanda soal.

Malaysia tidak lari daripada cubaan untuk pengiktirafan hak golongan LGBT. Sebagai usaha untuk memberi pengiktirafan dan hak samarata kepada golongan LGBT, Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO) telah menuntut Malaysia menerima syor-syor mereka dalam Semakan Berkala Sejagat (UPR) tahun 2013 anjuran Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland. Secara ringkas tuntutan COMANGO berkaitan LGBT adalah seperti berikut:

1. Menuntut supaya Malaysia menerima Hak SOGI (Sexual Orientation & Gender Identity). Pengiktirafan orientasi seksual LGBT sebagai hak-hak asasi manusia sejagat.

2. Syor meminda seksyen 377A Kanun Kesiksaan berhubung jenayah liwat. Hujahan bahawa jenayah liwat merupakan undang-undang yang tidak lagi relevan dan ketinggalan zaman.

3. Syor agar Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dimansuhkan dan pindaan terhadap kesalahan-kesalahan jenayah Syariah dan enakmen-enakmen yang didakwa sebagai “mengganggu hak peribadi.”

Walaubagaimanapun, syor-syor berkaitan LGBT tidak akan terhenti setakat itu kerana pusingan Semakan Berkala Sejagat untuk Malaysia adalah dijadualkan pada penghujung 2022. Pada pusingan tahun 2018, Malaysia masih dikecam di dalam isu LGBT ini dan desakan terus dibuat kepada Kerajaan Malaysia. Diharapkan delegasi Malaysia ke Geneva, Switzerland kelak akan terus berusaha mempertahankan kesucian Islam dalam menghadapi syor-syor melibatkan Hak Asasi Manusia.

Berdasarkan rujukan dari sumber-sumber di atas, adalah dapat difahami bahawa gerakan LGBT ini merupakan satu gerakan terancang yang agendanya semakin diterima masyarakat dunia.

Pada mulanya perbuatan homoseksual dikenakan hukuman yang cukup berat namun beransur-ansur hukuman tersebut diringankan dan akhirnya diiktiraf sebagai hak asasi manusia. Tidak cukup dengan itu, perkahwinan sejenis mula diterima oleh dunia dan akhirnya negara maju seperti Amerika Syarikat telah mengiktiraf perkahwinan sejenis berdasarkan keputusan Mahkamah Agung (Supreme Court).

Apakah yang akan berlaku di Malaysia?

Rencana ini ditulis oleh Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tiada kaitan dengan pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button