Rampasan Jam ‘Pelangi’ Swatch, MUDA Mahu Menteri Perjelas
JOHOR, 24 Mei 2023 – Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan pendirian Kerajaan terhadap rampasan jam tangan pelangi jenama Swatch minggu lalu.
Menerusi ciapan laman Twitter, ADUN Puteri Wangsa itu menyatakan kebimbangannya mengenai ‘kekaburan’ perkara yang dianggap memudaratkan.
Ujarnya, “Adakah kita akan mula menyerbu semua kedai yang menjual apa-apa dengan tema pelangi/ pride yang dilukis di atasnya? Termasuk perniagaan kecil?”
“Kami menghantar mesej bahawa tidak selamat untuk jenama dan syarikat beroperasi di Malaysia. Menteri perlu menjelaskan pendirian Kerajaan dalam perkara ini. Dan di manakah kita meletakkan batasnya?” katanya lagi.
BACA JUGA: Cuaca Ekstrem Renggut 2 Juta Nyawa
BACA JUGA: Anjur Pesta Seks, Jabatan Agama Islam Johor Diarah Ambil Tindakan Segera
BACA JUGA: MP Cadang Golongan LGBT Masuk Kumpulan Sakit Mental
Dalam ciapan sama, Amira turut melampirkan gambar notis KDN menyatakan bahawa 22 jam tangan yang dirampas mempunyai simbol LGBT. Notis juga menunjukkan barangan itu telah melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Bagaimanapun, Amira mengatakan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan adalah undang-undang berbahaya, kuno dan perlu dimansuhkan.
Mengulas lanjut mengenai barangan Pride, beliau berpendapat, “Jika Kerajaan berpendirian bahawa produk Pride diharamkan di Malaysia, bentangkannya di Dewan Rakyat dan bahaskannya dengan sewajarnya.”
“Biar jelas kepada syarikat dan pemilik perniagaan tentang apa yang boleh dijual dan apa yang tidak boleh dijual di Malaysia. Masalah timbul apabila kita tidak pernah membuat pendirian dalam perkara ini. Sudah tentu syarikat akan membawa apa sahaja produk yang mereka ada,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerbu dan melakukan rampasan barangan “Koleksi Pride” di beberapa cawangan jam tangan jenama Swatch kerana menjual koleksi jam tangan dengan tema warna pelangi yang dikaitkan dengan komuniti LGBTQIA+.