UEC Bakal Diluluskan Melalui CSA Kerajaan-Pembangkang?
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 08 September 2021 – UEC (Unified Examination Certification) yang selama ini menjadi subjek kontroversi bakal diluluskan kerajaan.
Kelulusan yang diberikan tersebut adalah kelulusan bersyarat seperti wajib lulus Bahasa Melayu dan subjek Sejarah. Demikian menurut maklumat yang disampaikan oleh satu sumber dalaman kepada pihak samudera.my.
Tindakan ini menurut sumber ialah berikutan tuntutan pihak tertentu dari pembangkang yang mengenakan beberapa syarat ketat untuk memberikan sokongan Perjanjian Keyakinan & Bekalan (CSA – Confidence & Supply Agreement) kepada pihak kerajaan pada 14 September 2021.
Sokongan majoriti tipis meletakkan risiko kerajaan yang dipimpin Ismail Sabri berkemungkinan tumbang jika beberapa pergolakan dalaman tidak dapat diselesaikan sebelum sidang Parlimen dibuka.
Ismail Sabri menubuhkan kerajaan baru setelah beliau dipercayai mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen semasa mempersembah sokongan yang diperolehinya kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 19 Ogos 2021.
Walau bagaimanapun, Seri Paduka Baginda menitahkan supaya sokongan tersebut diabsahkan melalui sokongan undi percaya di Dewan Rakyat sebaik Parlimen dibuka.
Sebagai jalan keluar, CSA tersebut dijadikan satu bentuk jaminan untuk mengekalkan kestabilan sokongan kepada kerajaan Ismail Sabri.
Menurut kenyataan yang dibuat sebelum ini, CSA tersebut adalah sebagai memastikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku supaya kestabilan politik dapat dicapai melalui kerjasama semua parti politik di dalam negara dalam menangani ujian yang sedang dihadapi negara.
Sumber menjelaskan terdapat beberapa perkara lagi dituntut yang bakal dilihat menimbulkan kontroversi besar.
Selain dari cadangan meluluskan undang-undang Anti Lompat Parti, Undi 18, undang-undang yang mengehadkan Perdana Menteri kepada dua penggal perkhidmatan, beberapa lagi tuntutan pihak pembangkang seperti kelulusan UEC ini akan menimbulkan ketegangan dalaman pihak-pihak yang bersama kerajaan.
“Sesuatu perlu dilakukan supaya CSA ini tidak menjejaskan kepentingan Melayu dan Islam. Saya tidak mahu melihat, hanya kerana kita ingin mengekalkan kuasa, beberapa isu yang dekat dengan hati perjuangan penyokong akar umbi kita, terpaksa kita gadaikan,” komen sumber kepada samudera.my.
Tinjauan samudera.my mendapati sentimen di dalam rakan-rakan Perikatan Nasional apabila diajukan persoalan mengenai CSA dan UEC ini, rata-rata menolak dan tidak senang dengan cara keputusan perjanjian ini dicapai.
Walau bagaimanapun, sebahagian dari rakan komponen menyatakan mereka mengambil sikap untuk tunggu dan lihat untuk menilai perkembangan seterusnya.