Pergeseran Kaum Mungkin Berlaku Kalau UEC Lulus – Ustaz Ismail Mina
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 16 September 2021- “Dikhuatiri satu pergeseran kaum mungkin akan berlaku kalau UEC ini diluluskan nanti. Sebab itu pentingnya diwujudkan cuma satu aliran pendidikan kebangsaan sahaja,” kata Ustaz Ismail Mina.
Ujarnya, Malaysia akan menjadi negara cacamarba apabila berlakunya perpecahan besar sekali gus merosakkan apa yang sudah terbina dengan makmur selama ini jika UEC diluluskan.
“Kalau kita lihat Akta Pendidikan Kebangsaan yang berkaitan dengan jenis-jenis sekolah kebangsaan serta kandungannya, ia tidak ada kena-mengena dengan apa yang diamalkan di bawah sistem UEC ini,” ujar Timbalan Presiden Institut Pengajian Tradisional Islam (IPTI) ini.
Justeru Ustaz Ismail Mina menegaskan, semua pihak perlu menolak UEC agar perpaduan yang terbina tidak terjejas dan tiada lagi jurang antara kaum.
“Di kalangan intelektual berbangsa Cina seperti Profesor Dr Teo Kok Seong pun tidak bersetuju dengan UEC ini. Takkanlah pemimpin-pemimpin politik Melayu lebih sudu dari kuah.”
Oleh itu, beliau sekali lagi menegaskan pendiriannya untuk tetap menolak UEC diluluskan.
“Lebih baik ianya ditukarkan kepada sistem Pendidikan Kebangsaan sepenuhnya. Penyata Razak sudah meletakkan dasar asas yang cukup kukuh kemudian diulang oleh Rahman Talib dan diulang-ulang lagi oleh kongres-kongres Melayu seterusnya.”
“Maka, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu jelas bahawa ini adalah amanah yang Allah SWT takdirkan kepadanya. Jangan jadi seperti orang yang dikenang sebagai tidak setia kepada sistem Pendidikan Negara kerana usul menunjukkan asal,” kata mantan Presiden MUAFAKAT ini mengakhiri kenyataan.