Tempatan

UEC Akan Diiktiraf Kerajaan Jika PH Mentadbir – Lim Kit Siang

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

JOHOR BAHRU, 21 Julai 2022 – Mantan jaguh politik senior DAP, Lim Kit Siang menegaskan bahawa Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) akan diiktiraf Kerajaan sekiranya Pakatan Harapan (PH) memegang tampuk pemerintahan selama lima tahun, bukan sebaliknya.

“Sijil Peperiksaan Dipersatukan (UEC) akan diiktiraf Kerajaan sekiranya kerajaan Pakatan Harapan dapat mentadbir sepanjang mandat lima tahunnya dan bukannya ditumbangkan selepas 22 bulan mentadbir melalui konspirasi Langkah Sheraton.”

Keyakinannya itu berdasarkan dari jawapan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menurutnya, menyatakan bahawa UEC akan diiktiraf sebelum tamatnya mandat lima tahun Pakatan Harapan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan melalui blognya, Lim Kit Siang turut memberi contoh dari pengalaman seorang individu yang merupakan lepasan sekolah Cina bahawa sekolah rendah Cina sebenarnya menggalakkan semangat perpaduan negara.

“Perkara ini terlintas dalam fikiran saya apabila saya menerima senaskhah laporan FreeMalaysiaToday (FMT) – dari tahun 2017 yang menyampaikan pengalaman seorang auditor, Farah Halijah Halim, yang mengatakan sekolah rendah Cina bukanlah tempat yang menyebarkan sentimen perkauman, sebaliknya menjadi tempat patriotik yang menggalakkan semangat perpaduan negara.”

Kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, inilah yang perlu dibaca oleh semua pihak yang cuba melanggar Perlembagaan dan menuntut supaya sekolah rendah Cina ditutup.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Pesara Pegawai Pendidikan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), Datuk Abdul Raof Hussin pernah menegaskan bahawa senario yang paling dahsyat akan wujud dalam dasar pendidikan negara sekiranya UEC diluluskan.

Antara senario dahsyat yang akan berlaku adalah, ia akan meluputkan secara automatik dasar pendidikan negara yang bermula dengan Penyata Razak, Penyata Rahman Talib dan Akta Pendidikan 1996 walaupun diputuskan oleh Parlimen.

Manakala peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla pula menegaskan, perpaduan nasional akan ranap jika Kerajaan menerima dan mengesahkan UEC.

Malah, negara mengambil langkah yang terus menjunam ke bawah sekiranya Kerajaan meluluskan UEC.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: