Politik

Kesalahan Mesti Diletakkan Ke Atas Mazlina – Peguam Bela Zahid

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 07 September 2021 – Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh dipersalahkan atas pertuduhan pecah amanah kerana bekas setiausaha eksekutifnya Mazlina Mazlan @ Ramly tidak cekap dalam tugasannya di Yayasan Akalbudi.

Demikian hujah Hamidi Mohd Noh, peguam bela kepada Presiden UMNO itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Ujarnya, pihak pendakwa raya tidak mempunyai kes ‘prima facie’ dalam 12 pertuduhan pecah amanah yang dikenakan terhadap Presiden UMNO itu berhubung transaksi berkaitan Yayasan Akalbudi (YAB) yang dihadapinya.

Itu kerana 32 cek dicop dan tidak ditandatangani dengan tangan.

“Kesalahan mesti diletakkan ke atas Mazlina yang memegang buku cek peribadi Ahmad Zahid dan menguruskan urusan kewangan Yayasan Akalbudi.”

Zahid adalah satu-satunya penandatangan, pemilik dan pengasas Yayasan Akalbudi.

“Tidak ada bukti cop itu adalah milik tertuduh. Bukti jelas mengatakan bahawa Mazlina melakukannya.”

“Dia juga memegang kunci laci tempat di mana buku cek itu disimpan. Tertuduh (Ahmad Zahid) tidak mempunyai akses.”

“Mazlina mengesahkan bahawa dia mengendalikan sepenuhnya cek milik Yayasan Akalbudi dan tertuduh.”

Untuk 12 pertuduhan pecah amanah, Zahid didakwa menggunakan dana tersebut untuk membuat pembayaran kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen untuk kenderaan peribadinya. Beliau juga didakwa membuat kiriman wang kepada firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak polis.

Mazlina adalah saksi ke-90 pendakwaan dalam kes rasuah Zahid yang melibatkan dana berjuta-juta ringgit dari badan kebajikan yang ditubuhkan bagi membantu golongan miskin dan memerlukan.

Hari ini adalah hari kedua hujahan lisan oleh peguam Zahid untuk mengemukakan hujah terakhir mereka sebelum mahkamah memutuskan sama ada ahli Parlimen Bagan Datuk itu perlu membela diri.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button