Tempatan

Tweet Bakar Rumah Menteri, Kit Siang Sedia Ke Penjara

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PULAU PINANG, 23 Mei 2022 – Mantan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berikrar beliau bersedia untuk ke penjara kerana memberikan amaran supaya Malaysia tidak menjadi seperti Sri Lanka.

Sebelum itu, dalam satu tweet berbeza, Lim Kit Siang mempersoalkan, adakah mungkin rumah Perdana Menteri dan menteri-menteri di Malaysia dibakar oleh penunjuk perasaan yang marah seperti yang berlaku di Sri Lanka minggu lepas susulan krisis ekonomi yang berlaku di sana.

Ciapan itu didapati telah diturunkan dari laman Twitternya tetapi kenyataan yang sama boleh diperoleh dari blogspotnya.

“Adakah kita sedang mengikuti jejak langkah Sri Lanka, yang pada suatu masa dahulu dikenali sebagai “permata” yang berpotensi tinggi membangun di Asia Selatan?”

“Perkara ini tidak akan berlaku hari ini, bulan ini, atau tahun ini, tetapi mungkinkah ia berlaku sebelum negara kita mencatatkan ulang tahunnya yang ke-100 pada 2057 atau 2063?” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan, Malaysia juga tidak memenuhi potensi pembangunan ekonomi kita. Lim Kit Siang malah turut membuat perbandingan perkembangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) antara Malaysia dengan negara-negara maju dan membangun yang lain.

“Dari segi KDNK kapita, angka untuk Korea Selatan mengembang lebih dari 80 kali ganda untuk tempoh 1970 ke 2020, manakala Singapura mengembang sebanyak 50 kali ganda, China 40 kali ganda, dan Indonesia 35 kali ganda. KDNK per kapita Malaysia hanya berkembang 25 kali ganda, tetapi Sri Lanka lebih teruk – hanya kira-kira 12 kali ganda,” ujarnya.

Tambahnya, kita belum menjadi sebuah negara gagal tetapi adakah kita sedang berada dalam trajektori menjadi sebuah negara gagal dalam tiga atau empat dekad yang akan datang?

Justeru, mantan pemimpin veteran DAP itu menegaskan bahawa Malaysia memerlukan aspirasi politik baharu agar tidak lagi menjadi satu lagi Sri Lanka atau Filipina.

“Untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan bukannya menjadi satu lagi Sri Lanka atau Filipina, kita perlu kembali semula kepada prinsip-prinsip asas pembinaan negara bangsa yang telah dipersetujui oleh bapa pembangunan negara seperti di dalam Perlembagaan Persekutuan – monarki berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus baik, hormat kepada hak asasi manusia dan perpaduan masyarakat majmuk pelbagai kaum, bahasa, agama dan budaya.”

“Inilah cabaran yang dihadapi rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum Ke-15 yang perlu diadakan dalam tempoh setahun, sama ada tahun ini atau akan datang,” kata Lim Kit Siang.

Awal Mei lalu, rumah pusaka keluarga Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa dibakar oleh penunjuk perasaan beberapa jam setelah perletakan jawatan beliau pada Isnin lalu sewaktu krisis ekonomi negara itu sedang meruncing.

Perletakan jawatannya itu menyaksikan lima orang termasuk seorang ahli parlimen terbunuh dan lebih 189 orang cedera ketika penyokong kerajaan yang bersenjatakan kayu menyerang penunjuk perasaan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: