Antarabangsa

Letak Jawatan Ketika Krisis Ekonomi Meruncing, Rumah PM Sri Lanka Dibakar

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SRI LANKA, 11 Mei 2022 – Rumah pusaka keluarga Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa dibakar oleh penunjuk perasaan beberapa jam setelah perletakan jawatan beliau pada Isnin lalu sewaktu krisis ekonomi negara itu sedang meruncing.

“Berkuat kuasa serta-merta saya telah mengemukakan perletakan jawatan saya sebagai Perdana Menteri kepada Presiden,” tulis Mahinda Rajapaksa di akaun Twitter miliknya.

Baru-baru ini tular sebuah video yang menunjukkan rumah pusaka keluarga Rajapaksa terbakar dalam api yang sangat marak.

Mahinda meletakkan jawatannya selepas berlakunya pertempuran ganas antara penunjuk perasaan dan pro kerajaan di luar pejabat Presiden Gotabaya Rajapaksa di Colombo.

Bukan itu sahaja, keganasan turut meletus di seluruh negara yang mengakibatkan rumah pusakanya di Hambantota dibakar oleh penunjuk perasaan serta mengakibatkan lima orang maut dalam keganasan itu.

Sri Lanka yang mengalami krisis ekonomi terburuk sejak sebulan lalu mengalami kekurangan bahan api dan elektrik yang parah diikuti harga keperluan komoditi yang melambung tinggi.

Krisis itu lalu membawa ribuan orang memprotes kerajaan pemerintah serta menggesa agar keluarga bersaudara itu meletakkan jawatan, namun ia tidak dipedulikan oleh keluarga Rajapaksa itu.

Perletakan jawatannya itu menyaksikan lima orang termasuk seorang ahli parlimen terbunuh dan lebih 189 orang cedera ketika penyokong kerajaan yang bersenjatakan kayu menyerang penunjuk perasaan.

Keganasan bermula apabila penyokong Perdana Menteri membawa masuk bas dari kawasan luar bandar.

Para penyokong turut merobohkan khemah penunjuk perasaan di hadapan kediaman Perdana Menteri tersebut dan membakar sepanduk-sepanduk anti-kerajaan.

Berikutan itu, pihak polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air lalu mengisytiharkan perintah berkurung serta-merta di Colombo.

Keganasan itu juga mengakibatkan seorang ahli parlimen Sri Lanka, Amarakeerthi Athukorala meninggal dunia dan ditemui mati di bangunan berhampiran selepas melepaskan tembakan hingga menyebabkan dua orang cedera parah.

Leave a Reply

Back to top button