Tuntutan Hak Milik Tanah Oleh DAP Bertentangan Kanun Tanah Negara
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
IPOH, 29 November 2022 – “Dia (DAP) boleh berjuang tetapi Perlembagaan sudah menetapkan tidak boleh… maka ia tidak boleh dibuat jadi saya percaya DAP dan penyokong memahaminya,” tegas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menyatakan bahawa beliau memahami masalah dialami DAP di mana parti itu sudah menjanjikan perkara tersebut kepada penyokongnya untuk menuntut hak milik tanah 999 tahun untuk kampung baharu di Perak, Datuk Seri Saarani berkata, Kanun Tanah Negara sudah menetapkan ia tidak boleh.
“Jika diikutkan, tuntutan DAP itu bukan hanya berjuang untuk tanah kampung baharu sahaja tetapi termasuk Rancangan Kampung Tersusun Melayu dan kampung tradisi, namun tidak kira apa pun Kanun Tanah Negara sudah menetapkan tidak boleh maka ia tidak akan dapat dilaksanakan.”
Justeru, rakyat Perak tidak perlu bimbang mengenai isu tuntutan hak milik tanah 999 tahun untuk kampung-kampung baharu di negeri itu kerana ia tidak boleh dilaksanakan dan bercanggah dengan Kanun Tanah Negara.
Terdahulu, media melaporkan, Menteri Besar Perak menyatakan bahawa tuntutan mengenai hak milik tanah 999 tahun untuk kampung baharu di Perak tidak berbangkit dalam syarat pembentukan kerajaan perpaduan di negeri itu.
Beliau mengulas mengenai WhatsApp yang tular kononnya Pakatan Harapan (PH) bersetuju menerima syarat Barisan Nasional (BN) untuk diberikan jawatan Menteri Besar, Speaker dan tiga EXCO jika PH menggugurkan tuntutan hak milik tanah itu.
Tegas Datuk Seri Saarani, Kerajaan Negeri Perak berpegang kepada Perlembagaan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan Kanun Tanah Negara 1965 dalam perkara berkenaan.