3 Solusi Bekalan Ayam – Najib Razak
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
ISNIN, 23 Mei 2022 – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan tiga solusi kepada Kerajaan dalam menangani isu kekurangan bekalan makanan khususnya ayam dan telur.
Menurut hantaran di Facebooknya semalam, Najib Razak mencadangkan supaya Kerajaan mengambil cukai durian runtuh sawit yang dikenakan ketika ini untuk terus memberi subsidi dengan membayar pada masa yang tepat selagi Kerajaan masih mahu melaksanakan harga kawalan yang rendah.
Seterusnya, antara cadangan yang diutarakan oleh Najib Razak sejak tahun lalu adalah supaya Kerajaan menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja yang berlaku ketika ini.
Selain itu, mewujudkan skim seperti FELDA yang boleh mendukung sektor pertanian di Malaysia, ujar Najib Razak.
“Suruh setiap negeri dalam Malaysia untuk sediakan tanah pertanian untuk wujudkan skim ala FELDA bagi pertanian makanan secara berskala besar termasuk untuk pertanian jagung yang akan digunakan sebagai dedak ayam.”
Beliau turut menjelaskan bahawa masalah ini terjadi adalah disebabkan Kerajaan mengenakan harga kawalan ke atas ayam dan telur yang lebih rendah daripada kos pengeluaran.
Harga dedak telah naik melambung tinggi akibat perintah kawalan pergerakan dan pandemik serta kekurangan tenaga kerja setelah ramai pekerja asing dihantar pulang tanpa diganti, kata beliau.
Justeru, “Akibat harga kawalan yang terlalu rendah dan kekurangan bekalan kerja, ramai pengeluar kecil ayam dan itik telah gulung tikar,” jelas Najib Razak.
Tambah beliau, walaupun hari ini Kerajaan bersetuju dengan cadangannya iaitu memberi subsidi kepada penternak namun, “Kerajaan lambat membayar subsidi tersebut dan penternak pun mula bertindak dengan mengurangkan bekalan dan mengakibatkan kekurangan ayam hari ini.”