5 Bukti DAP Promosi Islamofobia – Pemuda PAS
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 30 November 2022 – Dewan Pemuda PAS mempertahankan kenyataan Presidennya, Abdul Hadi Awang, yang mengaitkan DAP sebagai parti ekstrem dan mempromosi Islamofobia.
Naib Ketuanya, Hanafi Zulkapli, berkata, kenyataan Presidennya itu adalah berasaskan fakta yang benar.
“Dalam setiap perlakuan serta tindak tanduk, DAP terlihat jelas menolak asas Perlembagaan Persekutuan, bersikap Islamofobik dan rasis,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan itu juga, Hanafi menyenaraikan beberapa tindakan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh DAP sebelum ini.
“Pertama, sehingga kini, DAP masih berpegang pada Deklarasi Setapak yang berhasrat mengubah status Bumiputera dalam Malaysia. Deklarasi tersebut tidak ditarik balik sehingga kini.”
“Kedua, gesaan Senator Lantikan DAP, Nga Hock Cheh pada April 2019 untuk menggugurkan status kaum termasuk status Islam pada MyKAD, kononnya atas dasar mewujudkan identiti nasional.”
“Ketiga, pendirian Ngeh Koo Ham pada tahun 2014, yang menyatakan hak untuk murtad patut diberikan kepada orang Islam. Sehingga kini kenyataan tersebut tidak ditarik balik.”
“Keempat, kenyataan Nga Kor Ming pada 14 November lalu sewaktu kempen PRU-15, yang menyatakan gabungan PN sebagai kerajaan Taliban hanya kerana ketegasan PAS berkenaan kawalan aktiviti maksiat.”
“Dan kelima, kenyataan tokoh besar DAP, Lim Kit Siang pada Oktober lalu yang menyebut Malaysia tidak memerlukan Ketuanan Melayu, sebaliknya hanya perlukan Ketuanan Malaysia.”
Hanafi menegaskan, semua kenyataan dan pendirian pemimpin DAP itu jelas menunjukkan mengenai sifat malignan DAP terhadap fabrik sosial negara ini.
Seterusnya membalas kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkenaan PAS seharus membuat laporan polis jika benar DAP seperti apa yang dituduh, Hanafi berkata, tak perlu tunggu Presiden PAS membuat laporan polis pun, rakyat sendiri sudah lama melaporkan perbuatan dan tindak-tanduk DAP untuk diambil tindakan mengikut lunas undang-undang.
“Pertama, laporan polis oleh NGO Islam pada 22 Februari lalu terhadap pemimpin DAP, P Ramasamy ke atas Majlis Agama Islam Perlis.”
“Kedua, laporan polis oleh Pemuda PAS Malaysia pada 7 Julai tahun lalu terhadap kenyataan penghinaan oleh Lim Kit Siang berkaitan isu kerajaan Allah.”
“Ketiga, laporan polis oleh NGO Ummah pada 19 November lalu berkenaan kempen rasis oleh tokoh DAP, Hew Kuan Yew.”
Sehubungan itu, pemimpin Pemuda PAS itu berkata, apa yang disebut oleh Hadi bukanlah suatu fitnah, dan Presiden PAS itu hanya menyatakan perkara sebenar yang berlaku.