Antarabangsa

Selepas Polisi Bakar Mayat Muslim, Sri Lanka Bakal Haramkan Burqa

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

COLOMBO, 15 Mac 2021 – Kerajaan Sri Lanka bakal mengharamkan pemakaian burqa dan menutup lebih 1,000 sekolah agama atas dakwaan mengancam keselamatan negara tersebut.

Pengumuman ini antara langkah terbaru yang memberi kesan kepada komuniti minoriti Muslim di negara itu.

Menteri Keselamatan Awam, Sarath Weerasekera menyatakan telah menandatangani dokumen berkenaan hal ini pada Jumaat lepas dan sedang menunggu kelulusan Kabinet.

“Wanita dan perempuan Muslim kita zaman dahulu tidak pernah memakai burqa. Ini adalah tanda ektremisme agama yang baru muncul. Kami pasti akan mengharamkannya.”

 Mengenai penutupan sekolah agama atau dikenali sebagai madrasah, Weerasekera mendakwa kerajaan bercadang untuk menutup madrasah yang melanggar polisi pendidikan kebangsaan.

“Tiada siapa yang boleh membuka sekolah dan kemudiannya mengajar apa sahaja yang dimahukan kepada anak-anak.”

Sehari selepas dokumen ditandatangani, kerajaan negara pulau Asia Selatan itu mengumumkan akan menangani ekstremisme agama menggunakan undang-undang kontroversi anti-keganasan yang memberi mereka kuasa menahan suspek sehingga tempoh dua tahun dengan tujuan untuk proses “deradikalisasi”.

Sebelum ini, kerajaan Sri Lanka menetapkan bahawa mayat mangsa COVID-19 yang mahu mengikut upacara pengebumian perlu dikebumikan di Pulau Iranathivu, Teluk Mannar yang terletak 300KM dari ibu negara Sri Lanka dan dihuni oleh lebih kurang 250 orang Tamil, sekaligus mencetuskan kemarahan komuniti Islam dan Kristian.

Keputusan ini datang selepas kerajaan menarik balik polisi  memaksa semua mayat mangsa COVID-19 mestilah dibakar.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: