Tempatan

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Cemar Duli Ke Mesyuarat Penyelarasan Bantuan Pasca Banjir Negeri, Wisma Pahang

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Mesyuarat Penyelarasan Bantuan Pasca Banjir Negeri di Wisma Sri Pahang di Kuantan, Pahang dua hari lalu.

Menerusi titah ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, baginda menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak yang bekerja keras menguruskan bencana banjir baru-baru ini.

“Saya juga ingin merafak sembah ucapan setinggi-tinggi menjunjung kasih ke sisi Seri Paduka Ayahanda saya, yang turut bercemar duli meredah banjir ke serata negeri Pahang untuk menziarahi rakyat yang ditimpa musibah,” titah baginda.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah YAM Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Panglima Raja Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail turut hadir bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak.

Mesyuarat yang dilaksanakan secara hybrid itu membabitkan ketua-ketua jabatan di peringkat Persekutuan dan Negeri.

Ketua jabatan di Pahang hadir fizikal di Wisma Sri Pahang manakala ketua jabatan peringkat Persekutuan hadir di Bilik Mesyuarat Utama Istana Negara, Kuala Lumpur dan bermesyuarat secara atas talian.

Di Wisma Sri Pahang yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza binti Shamsuddin; Pegawai Kewangan Negeri Pahang, YB. Dato’ Indera Nazri bin Abu Bakar; Pengarah Pembangunan Negeri Pahang, YH Dato’ Indera Haji Zulkifli bin Haji Yaacob; Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pembangunan), YH Dato’ Razihan bin Adzharuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH Dato’ Ahmad Hairi Bin Hussin.

Manakala di Istana Negara pula melibatkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, YBhg. Dato’ Indera Ahmad Fadil bin Hj. Shamsuddin; Ketua Pengarah, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), YBhg. Datuk Dr. Aminuddin bin Hassim; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, YBhg. Datuk Nor Azri Bin Zulfakar, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, YBhg. Datuk Saiful Anuar bin Lebai Hussen dan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA), YBhg. Dato’ Ahmad Najjmi Abd. Razak, Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA).

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: