Tempatan

KKR Sedia Jambatan Bailey, Persiapan Hadapi Banjir

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

LIPIS, 06 November 2023 – Kementerian Kerja Raya (KKR) menyediakan jumlah tambahan aset Jambatan Panel Keluli Bermodular (JPKB) atau bailey ke seluruh negara bagi menghadapi bencana banjir pada musim tengkujuh tahun ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, jambatan bailey antara aset penting KKR sebagai kemudahan yang sesuai dan selamat yang boleh bertindak dengan cepat sebagai penghubung di kawasan terputus hubungan akibat banjir berdepan bencana.

“Sehingga ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) mempunyai jumlah simpanan jambatan bailey sepanjang 597.40 meter yang diletakkan di tujuh stor penyimpanan di Semenanjung, iaitu meliputi Zon Utara di Alor Setar (Kedah), Kinta (Perak), Petaling Jaya (Selangor), manakala Zon Tengah, di Kuala Pilah (Negeri Sembilan), Zon Selatan di Johor Bahru (Johor) dan Zon Timur di Temerloh (Pahang) dan Machang (Kelantan).

Jelasnya, kemudahan aset tersebut antara usaha KKR serta agensinya, JKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memenuhi persiapan bagi memastikan jaringan perhubungan rakyat tidak terjejas, sekali gus keselamatan pengguna dapat dipertingkatkan selari dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Tambahnya, kementerian ini juga sudah bersedia dengan kira-kira 3,000 buah kenderaan berat bagi penugasan pengangkutan menyelamat dan kerja penyelenggaraan tempat kejadian bencana berasaskan bantuan aset dan logistik tertentu.

Menurutnya, antara aset jentera berat seperti kenderaan pacuan empat roda, jentera kaut, lori muatan tiga dan lima tan, jentera penyodok bersedia untuk digerakkan bagi tujuan pengangkutan petugas dan misi bantuan, pemantauan, pemulihan dan pembaikan infrastruktur, pembaikan cerun serta pemindahan mangsa.

Selain itu, kakitangan JKR akan melakukan penyelenggaraan rutin mengikut jadual dan kitaran yang ditetapkan seperti pembersihan laluan air, tumbuh-tumbuhan, puing dalam pembetung, pemeriksaan pengesahan aset jambatan dan pembetung yang mengalami kerosakan atau kegagalan, penyediaan cadangan pembaikan alternatif dan segera.

“JKR juga akan mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) bagi kawasan laluan yang terjejas akibat bencana dengan melaksanakan penutupan jalan secepat mungkin untuk jaminan keselamatan pengguna jalan raya, memberi amaran bencana kepada orang ramai, menyediakan laluan alternatif, membina lencongan jalan dan melaksanakan kerja pembaikan atau pembinaan kekal (pasca bencana).”

“Kita juga menyediakan portal bencana JKR di alamat: www.bencanaalam.jkr.gov.my dan melalui laman twitter di @JKRMalaysia, @CSFJ_JKR dan facebook Jabatan Kerja Raya Malaysia serta boleh menghubungi talian Hotline Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) 0326107559/7727 berkaitan semua bencana alam,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: