Tiga Negara Bakal ‘Tenggelam’ Dalam Masa Terdekat
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 09 Oktober 2022 – Tiga buah negara bakal dilanda banjir besar dalam masa terdekat berikutan hujan lebat yang turun tanpa henti secara berterusan, lapor sebuah portal tempatan.
Tiga negara tersebut adalah Australia, Thailand dan Indonesia.
Sydney, ibu negara Australia merekodkan tahun paling banyak hujan dalam tempoh 164 tahun di mana sehingga Khamis baru-baru ini, bandar itu menerima 2,216 milimeter hujan, sekali gus memecahkan rekod 2,194 milimeter hujan yang dicatatkan pada 1950.
Menurut Jurucakap Biro Meteorologi Australia, Jonathan How, rekod itu disifatkan luar biasa dan dibimbangi mencetuskan ‘bencana besar yang tidak pernah berlaku di Australia’.
Bukan itu sahaja, kebanyakan sungai dan empangan sudah mencapai kapasiti penuh.
Ini merupakan kali kelima bandar terbesar Australia itu menerima taburan hujan melebihi 2,000 milimeter setahun sejak 1858.
Malah, portal itu melaporkan bahawa sejumlah pekan pinggir Sydney sudah pun dilanda banjir dengan siaran televisyen menunjukkan penduduk sibuk memindahkan haiwan ternakan ke kawasan tinggi, selain berdepan dengan banyak jalan raya yang rosak.
Keadaan dijangka menjadi lebih teruk dan bahaya pada beberapa minggu akan datang.
Di Thailand pula, risiko berlaku banjir besar di Bangkok dan beberapa kawasan tengah negara itu terus meningkat berikutan hujan lebat yang dijangka berterusan sepanjang minggu ini.
Situasi itu diburukkan pula dengan peningkatan paras sungai akibat aliran banjir dari wilayah utara Thailand dan pelepasan air empangan.
Bangkok sudah pun dilanda banjir sejak Isnin lalu selepas dilanda hujan lebat sebelum surut dua hari kemudian.
Pihak berkuasa Thailand memaklumkan, lebih 41,000 isi rumah dan sekurang-kurangnya 22 wilayah masih terjejas akibat banjir, biarpun beberapa tempat sudah semakin pulih, seperti di Chiang Mai.
Manakala di Indonesia, beberapa wilayah di negara itu sudah pun dilanda banjir di mana kejadian terbaharu berlaku di Jakarta yang mengorbankan tiga orang pelajar.
Menurut Ketua Badan Tindakan Bencana Daerah (BPBD) Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta, Iswana Adji, ketiga-tiga mangsa meninggal dunia selepas ditimpa tembok sekolah sewaktu hujan lebat yang menyebabkan arus deras memasuki kawasan sekolah itu.
Sebelum kejadian berkenaan, pelajar-pelajar sekolah itu sedang menyelamatkan diri setelah air banjir memasuki kawasan sekolah dengan deras. Air banjir itu dipercayai mencapai ketinggian 50-60 sentimeter atau setinggi pinggang pelajar.