Bagaimana Kereta Anda Boleh Rosak Jika Redah Banjir – Dr Hasbullah Padzillah
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Hasbullah Padzillah pernah memberi panduan dan nasihat melalui sebuah rakaman video di laman Youtube akan risiko kerosakan sekiranya memandu kenderaan meredah banjir.
Menurut pakar kejuruteraan mekanikal yang menjadi graduan doktor falsafah Imperial College London ketika berusia 25 tahun itu, kereta anda mempunyai peluang yang tinggi untuk rosak sewaktu meredah banjir kerana kereta tidak direka untuk bekerja dalam air.
Terdapat dua benda paling penting yang kita perlu jaga supaya tidak rosak disebabkan banjir, iaitu enjin dan gearbox kerana harga yang paling mahal untuk diganti sekiranya berlaku kerosakan.
Sekiranya banjir tidak dalam, cuma sekadar kurang 1/3 dari paras tayar, sepatutnya kita masih boleh redah banjir itu memandangkan air masih jauh lagi untuk cecah gearbox dan enjin kita dari bawah.
Cuma kita perlu berhati-hati sekiranya arus air itu datang secara melintang di tengah jalan. Walaupun tidak dalam, tetapi kereta kita boleh tertolak mengikut arus itu dan boleh tersadai di tepi jalan sekiranya kita terbabas kerana gagal mengawal kereta.
Kita juga tidak nampak apa yang tersembunyi dalam air keruh, mungkin terdapat lubang besar yang kita tidak perasan memandangkan jalan boleh rosak sewaktu tenggelam.
Sekiranya banjir itu adalah dalam, lebih separuh dari paras ketinggian tayar kita, kita perlu lebih berhati-hati. Pada waktu ini, risiko untuk air masuk ke gearbox dan enjin anda adalah teramat tinggi.
Masalah jika air masuk ke dalam enjin anda
Enjin anda berfungsi dengan membakar campuran minyak dan udara, dan anda juga guna minyak pelincir bagi kelancaran komponen bergerak. Kemasukan benda asing seperti air banjir boleh mengganggu sistem ini.
Air banjir mampu untuk masuk ke dalam sistem intake enjin anda, walaupun intake enjin terletak di aras yang agak tinggi.
Anda perlu ingat, gelombang air banjir yang berlaku semasa kereta anda meredah masuk air itu boleh meninggikan paras air sehingga boleh mencecah masuk dalam bahagian intake engine anda.
Air banjir yang masuk itu boleh mencerobohi ruang pembakaran enjin yang sepatutnya cuma perlu ada udara dan minyak sahaja.
Tidak sepertimana udara dan minyak, air tidak boleh dimampatkan oleh piston enjin.
Oleh kerana air tidak boleh dimampatkan, ini menyebabkan tekanan enjin terlalu tinggi terhasil semasa compression stroke, dan daya tekanan ini akan beralih ke bahagian lain enjin.
Blok enjin anda adalah sangat kuat, jadi sepatutnya ia tidak akan pecah. Namun, connecting rod yang sambungkan piston dengan crankshaft anda adalah bersaiz kecil dan lebih lemah jika dibandingkan dengan komponen lain.
Jadi apabila daya yang terlalu besar untuk ditampung terhasil akibat kemasukan air itu, akan membengkokkan atau mematahkan connecting rod anda. Maka rosaklah enjin kereta anda.
Selain itu, air juga boleh masuk melalui ruangan-ruangan yang terbuka dan kemudian akan bercampur dengan minyak pelincir kita.
Minyak pelincir bertujuan untuk mengurangkan geseran dalam enjin dan caranya berfungsi adalah dengan memasuki dalam semua laluan-laluan kecil terutamanya di bahagian komponen yang bergesel supaya pergerakan-pergerakan komponen itu menjadi licin dan tidak rosak.
Tetapi bayangkan apa akan terjadi kalau air banjir bercampur dengan minyak pelincir itu tadi. Tentulah minyak pelincir itu tidak dapat bekerja dengan baik.
Kelikatan minyak pelincir itu akan berubah dan pergerakan komponen tidak akan licin lagi.
Sebagai contoh, pergerakan turun naik piston. Sekiranya tidak ada pelincir yang betul – permukaan piston akan bergesek dengan dinding silinder enjin anda dan akan mencalarkan permukaan dinding tersebut.
Dan jika sudah calar, setiap kali pembakaran akan ada yang terlepas maka kuranglah daya tenaga yang dapat dihasilkan. Dan sama macam tadi, jika minyak pelincir bercampur air masuk ke ruang pembakaran, maka rosaklah enjin kita.
Masalah jika air ke masuk dalam gearbox anda
Dan komponen kedua yang perlu diambil perhatian adalah gearbox. Kedudukan gearbox adalah di bahagian bawah kereta anda, di kedudukan yang sangat rendah.
Risiko untuk air banjir memasuki gearbox anda adalah sangat tinggi memandangkan flywheel engine yang terletak di bahagian bawah kereta anda adalah bersambung dengan gearbox.
Di bahagian mana air boleh masuk? Di banyak bahagian sebenarnya, terutamanya di bahagian vent gearbox anda. Di bahagian gearbox terdapat vent – semacam lubang angin untuk pastikan tiada tekanan akan terkumpul dalam gearbox kita sewaktu ia panas.
Cuba bayangkan sewaktu gearbox tenggelam, apa akan berlaku?
Gearbox akan jadi sejuk sebab tenggelam dalam air. Kemudian air boleh masuk melalui vent tadi dan penuhlah air dalam gearbox kita.
Kesannya sama dengan apabila air masuk dalam pelincir tadi. Apabila minyak gearbox sudah bercampur dengan air, gear tidak akan smooth lagi pergerakannya dan akan rosak.
Masalah jika air masuk ke sistem elektrik dan elektronik kereta anda
Ada juga sistem lain yang juga dalam bahaya apabila kita redah banjir. Terutamanya sistem elektrik dan elektronik kereta kita.
Macam biasa, suis di rumah kita pun kita tidak akan hidupkan sekiranya tangan kita basah. Betul kan?
Samalah juga dengan wayar-wayar dan sambungan-sambungan elektrik dalam kereta anda. Mungkin sudah ada kerosakan litar pintas berlaku pada bahagaian-bahagian ini akibat anda meredah air.
Anda boleh jangka sistem-sistem elektrikal macam lampu depan, lampu belakang, signal, dan fius-fius dalam kereta mungkin tidak akan berfungsi dengan baik selepas anda redah banjir yang dalam.
Apa yang perlu anda lakukan jika kereta tenggelam dalam banjir
Sekiranya kereta anda tenggelam dalam banjir, jangan cuba untuk hidupkan kereta itu.
Jika anda hendak periksa sama ada air sudah masuk bahagian enjin atau tidak, guna sahaja dipstick yang biasa anda guna sewaktu memeriksa paras minyak hitam.
Jika parasnya lebih tinggi dari sepatutnya, maknanya air sudah pun masuk ke dalam bahagian enjin anda.
Kemudian anda cuba periksa pula penapis udara di bahagian intake. Jika terdapat air di bahagian penapis udara itu, maknanya air sudah pun masuk ke bahagian enjin anda.
Walau bagaimanapun, tidak kira ada air atau tidak dalam bahagian enjin anda, jangan cuba untuk hidupkan enjin anda.
Panggil sahaja lori towing untuk bawa kereta anda ke bengkel bagi mendapatkan pemeriksaan mekanik berpengalaman.
Kerana jika kita hidupkan sahaja enjin itu, dikhuatiri air yang telah masuk itu akan circulate dalam sistem enjin sewaktu dihidupkan dan semakin sukar untuk membaiki kereta anda nanti.
Kerosakan akan menjadi semakin parah dan akan menelan belanja yang lebih besar untuk diperbaiki.