Agong Ucap Takziah Kematian Veteran Perang Dunia Ke-2
PORT DICKSON – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Almarhum Prebet Ujang Mormin.
“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.”
Ucapan Seri Paduka berdua itu disampaikan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain dalam sidang media selepas upacara pengebumian yang turut dihadiri cucu saudara Allahyarham Ujang, Lailawati Jamil, 59.
Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.
“Selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara.”
Almarhum Prebet Ujang dipercayai satu-satunya veteran Perang Dunia Kedua yang masih tinggal meninggal dunia dua hari lepas di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada usia 100 tahun.
Almarhum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 26 Januari lalu selepas dikesan positif COVID-19.
“Allahyarham merupakan veteran Rejimen Askar Melayu Perang Dunia ke-2 yang berasal dari Kampung Kundur, Rembau, Negeri Sembilan. Allahyarham pernah bersama-sama legenda wira perang Allahyarham Leftenan Adnan Saidi ketika menentang tentera Jepun.”
“Perjuangan Allahyarham bersama Allahyarham Leftenan Adnan Saidi menentang tentera Jepun di Singapura diperakui kerajaan British yang mengurniakan pingat War Medal dan Pacific Star bagi perkhidmatan dari 1939 hingga 1945. Allahyarham turut dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia,” kata Jen Tan Sri Zamrose mengakhiri ucapan.