NGO

CPTPP: Jawapan Liew Chin Tong Menyeleweng

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Kami merujuk kepada jawapan Timbalan Menteri MITI dalam sesi soal jawab Parlimen pada 1 Mac 2023 kepada soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kemaman, YB Che Alias Hamid.

Kami menegaskan bahawa kenyataan Timbalan Menteri MITI, YB Liew Chin Tong yang mengatakan sektor pertanian tidak terjejas akibat ratifikasi CPTPP dan ia adalah satu-satunya perjanjian yang mengambil kira faktor keterjaminan makanan adalah menyeleweng dan palsu. Lebih-lebih lagi ia dikeluarkan tanpa sebarang bukti daripada teks CPTPP dan kenyataan yang dibuat bersifat terpilih dan menyembunyikan fakta-fakta penting.

Hakikatnya, keterjaminan makanan Malaysia akan terjejas akibat CPTPP dalam banyak hal dan boleh dikategorikan kepada tiga perkara iaitu penafian hak-hak petani, kenaikan kos yang mendadak dan ancaman lambakan import.

Chin Tong memberitahu Parlimen bahawa CPTPP tidak akan mengakibatkan pemansuhan duti import untuk produk pertanian secara besar-besaran dan Malaysia mempunyai tempoh peralihan selama 16 tahun untuk menghapuskan duti import.

Fakta yang sebenarnya adalah Malaysia hanya boleh mengekalkan kuota kadar tarif (cukai import) untuk daging ayam, telur ayam dan telur itik sahaja dan tarif untuk semua produk-produk pertanian dan bukan pertanian yang lain perlu dimansuhkan kepada 0%mengikut jadual pemansuhan dalam tempoh 16 tahun bermula pada tahun 2018 iaitu tahun di mana CPTPP berkuat kuasa.

Oleh kerana Malaysia baru menyertai CPTPP pada tahun lalu, kita berada di tahun ke-6 mengikut jadual pemansuhan bermakna pemansuhan peratusan cukai yang ketara perlu dilaksanakan terhadap 80%produk-produk Malaysia dalam masa satu tahun ratifikasi CPTPP.

Jawapan Timbalan Menteri MITI menggambarkan seolah-olah kebanyakan produk-produk pertanian negara mempunyai masa selama 16 tahun untuk penghapusan tarif sedangkan produk-produk yang diberikan masa paling lama tersebut adalah alkohol, tembakau dan pistol selain babi dan susu.

Untuk perbandingan, Jepun iaitu sebuah negara yang lebih maju daripada Malaysia hanya perlu menghapuskan 95% tarif untuk produk-produk mereka di bawah CPTPP. Mengapakah MITI memilih untuk menghapuskan 100% tarif untuk kesemua produk-produk Malaysia dalam masa 16 tahun melainkan daging ayam, telur ayam dan telur itik?

Menurut Chin Tong lagi, Approved Permit (AP) akan dikekalkan untuk beras. Ini tidak menjadi kebimbangan besar kerana AP produk pertanian hanya terdapat untuk 5 komoditi sahaja iaitu kobis bulat, susu cair, ayam dan beras. Apa yang lebih dibimbangkan adalah kesukaran untuk Malaysia melaksanakan Permit Import iaitu agensi-agesi berkenaan memerlukan proses pembuktian yang lebih ketat untuk mekanisma Sanitari, Fito-sanitari (SPS) dan Halal yang selama ini digunakan oleh agensi seperti FAMA dan MAQIS untuk mengawal lambakan import di pasaran.

Kes seperti ini telah berlaku pada tahun 2016, 2017 dan 2018 berikutan lambakan cili import daripada Vietnam. Pada 2018 contohnya, Menteri pertanian mengarahkan pihak FAMA menggunapakai mekanisme SPS untuk membantu petani mengawal kemasukan cili import secara mendadak. Ini dinyatakan sendiri oleh FAMA melalui kenyataan akhbar mereka.

Penghapusan hampir kesemua tarif dan AP serta kesukaran perlaksanaan mekanisma SPS ini bermakna para petani, penternak dan nelayan akan terjejas teruk akibat lambakan import.
Merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Persatuan Penanam Buah-Buahan Malaysia baru-baru ini iaitu pada 19 Feb 2023, lambakan buah ciku, buah naga, limau nipis dan limau kasturi daripada Vietnam telah pun menyebabkan kejatuhan harga buah-buahan tersebut sebanyak 50%.

Tarif Malaysia ke atas pengimportan buah-buahan ini dari Vietnam dan negara CPTPP lain telah pun dikurangkan di bawah CPTPP.

Berkenaan subsidi eksport dan larangan eksport (export ban) yang dikatakan masih boleh dilaksanakan oleh Chin Tong, bab tiga dalam teks CPTPP merangkumi peruntukan yang berkaitan dengan kawalan subsidi dan langkah pengimbang (countervailing) yang mana salah satunya adalah dalam bentuk subsidi eksport. Manakala, bab pelaburan dalam teks CPTPP boleh menyebabkan pelabur luar yang mempunyai kepentingan dalam pengeluaran makanan di Malaysia menyaman Kerajaan di mahkamah antarabangsa jika Malaysia melaksanakan larangan eksport sehingga mereka mengalami kerugian.

Selain tarif, AP dan Permit Import, kesan CPTPP yang lebih besar adalah terhadap hak-hak petani dan kenaikan kos. Artikel 18.7.2 dalam perjanjian CPTPP menyatakan bahawa negara-negara yang meratifikasi CPTPP wajib menyertai Konvensyen UPOV 1991. UPOV menghalang petani melakukan inovasi dan menafikan hak tradisional petani untuk bebas berkongsi dan menjual benih terlindung yang dituai dari ladang mereka sendiri.

Petani Malaysia perlu membayar royalti benih selama 20 hingga 25 tahun. Hak monopoli yang diberikan kepada pembiak baka juga adalah tidak adil kerana induk yang digunakan untukmenghasilkan varieti baharu selalunya diperoleh daripada varieti tradisional yang telah dibiakkan oleh petani secara turun temurun atau diperoleh daripada sumber biodiversiti komuniti tempatan.

Artikel 18.47dalam teks CPTPP pula memberikan 10 tahun keistimewaan perlindungan pemasaran eksklusif terhadap agrokimia yang akan menyebabkan harga racun pertanian meningkat tiga kali ganda.

Walaupun adalah lebih baik supaya para petani beralih kepada kaedah pertanian alami, perubahan mendadak dalam harga racun kimia boleh menyebabkan petani gulung tikar dengan lebih awal.

Tiada peruntukan yang jelas dalam teks CPTPP yang menyebut, melindungi atau menjamin keterjaminan dan kedaulatan makanan. Kerajaan secara konsisten gagal untuk mengiktiraf dan mempertimbangkan keseluruhan peruntukan CPTPP dalam analisis kesan berdasarkan sektor.

Untuk pertanian sahaja, terdapat 5 atau lebih bab yang relevan dan akan memberi kesan kepada sektor ini. Penafian menyeluruh terhadap kesan CPTPP kepada sektor pertanian adalah pengabaian tugas yang serius oleh pihak KementerianPertanian dan MITI.

NURFITRI AMIR BIN MUHAMMAD
Ketua Koordinator,
Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM)

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: