Penjajahan Moden Ala British Tadbir Negara
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 20 Januari 2023 – “Saya tidak akan menggunakan perkataan ini satu agenda dajjal sebaliknya akan menggunakan perkataan ini satu bentuk penjajahan moden yang sama seperti zaman di mana British cuba untuk mentadbir negara kita,” ujar Setiausaha Agung, Persatuan Insan Murni Malaysia, Syeikh Abdul Kareem Khadaied.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) ini yang didakwa merupakan Agenda Dajjal untuk mengawal makanan.
Menurutnya, seperti zaman dahulu di mana mereka merosakkan industri-industri tempatan, industri bijih timah sehingga orang Melayu hilang kawalan terhadap industri bijih timah. Begitu juga industri-industri makanan Malaysia.
Jelasnya, CPTPP ini akan membawa kepada kemusnahan kapasiti untuk menghasilkan makanan bagi keperluan orang-orang Malaysia. Ini kerana penglibatan import barang makanan lebih murah daripada luar negara yang membawa kepada satu keadaan di mana orang Malaysia dan industri-industri di Malaysia akan mati.
Justeru, kita akan berada dalam satu keadaan di mana kita hanya bergantung kepada kuasa luar. Bayangkan waktu itu, jika mereka berhenti untuk ‘supply’ makanan, ataupun mereka mempunyai agenda-agenda yang melibatkan berhentinya bekalan makanan maka yang menanggung susah adalah kita.
“Seperti apa yang kita lihat sekarang di dalam dunia perubatan misalnya, ubat-ubatan seperti ubat batuk dan panadol pun pernah satu ketika dahulu tak ada stok dan supply.”
Maka, perkara-perkara begini boleh berlaku kepada industri makanan juga. Itu adalah agenda halus untuk merobek dan merosakkan peradaban kita dan patut kita hindari.
Ditanya apa yang umat Islam harus buat untuk lawan fitnah ini, Abdul Kareem berkata, pertama kita kena sedar yang ianya adalah satu fitnah. Jadi jika sudah tahu itu fitnah dan ada perangkap di sana yang kita pergi masuk tu kenapa? Jika ada bahaya dan perkara memudaratkan jangan hampiri, jauhkanlah diri dari kebinasaan, itu adalah lebih baik.
Turut ditanya apakah tindakan yang harus diambil Kerajaan Malaysia sebagai daulah Islam untuk selamatkan Ummah?
Beliau berkata, Kerajaan perlu tamatkan segera perjanjian CPTPP ini. Kita berharap Kerajaan keluar dari perjanjian ini yang nanti tidak mendatangkan manfaat pun kepada negara selain hanya akan lebih banyak mudarat. Sudah tahu ada lubang, kenapa nak masuk juga?
Tambah beliau, banyak memorandum telah dihantar oleh NGO Gabungan namun tidak dilihat dengan teliti oleh pihak yang bertugas. Keadaan ini sama juga isunya apabila ada pegawai kerajaan yang mahu tandatangani ICERD sebelum ini.
Beliau tidak menafikan ada juga dalam Kerajaan orang-orang yang mempunyai pemikiran yang kurang menjaga kepentingan rakyat. Ini kerana mereka mempunyai pemikiran-pemikiran yang agak sempit dan keduniaan.
Jelasnya, ada pihak-pihak yang hanya memikirkan kepentingan dan kebolehan untuk eksport tanpa memikirkan apa kesannya yang bakal berlaku kepada industri dalam negara.
“Sama jugalah apabila terdapat puak-puak yang mahukan Malayan Union, mahukan ICERD tanpa berfikir panjang. Bagaimanapun, jika hendak dibezakan antara ICERD dengan CPTPP ini bagi saya CPTPP ini lebih buruk daripada ICERD.”
“Kalau ICERD masih ada penglibatan orang Malaysia, ada menteri nak tanda tangan sebaliknya CPTPP ini nantinya hanya akan melibatkan pihak luar dan itu hanya seolah-olah kita merelakan penjajahan dalam bentuk baru. Ibarat kita menyerahkan seluruh negara kepada perjanjian CPTPP ini,” ujarnya.
“Soalan saya, siapakah yang menandatangani CPTPP ini dan sudahkah ia dibentangkan di Parlimen? Adakah Parlimen telah membincangkan semua ancaman-ancaman kepada negara dan Perlembagaan sebelum ditandatangan?”
“Perjanjian CPTPP ini mempunyai kesan yang sangat berat kepada negara, Jadi, siapa yang paling berkuasa untuk tandatangan perjanjian ini dan kenapa tidak dibawa ke Parlimen untuk bincang secara terperinci terlebih dahulu?” soal beliau.