CPTPP Tidak Beri Impak Negatif Kepada Sektor Pertanian
KUALA LUMPUR, 01 Mac 2023 – Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong mengatakan bahawa Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) tidak memberi impak negatif kepada negara.
Kata beliau, perjanjian itu sebaliknya menjamin hak serta kepentingan petani tempatan dan ia merupakan satu-satunya perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang ditandatangani Malaysia dalam mengiktiraf isu keterjaminan makanan.
BACA JUGA: Selepas Menu Rahmah, Kerajaan Perkenal Menu RM2
BACA JUGA: PERHATIAN: Amaran Banjir Di Negeri Pahang Dan Johor Hari Ini
BACA JUGA: Premis Warga Asing Digempur MBK, Seorang Lelaki Ditahan
Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa perjanjian tersebut tidak membenarkan Kerajaan daripada melaksanakan larangan eksport makanan asas seperti ayam.
Hal ini kerana, Kerajaan Perpaduan berhak untuk melaksanakan larangan eksport secara sementara bagi produk barangan makanan agar ia mencukupi untuk kegunaan rakyat, jelasnya dalam Sidang Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah beliau, CPTPP juga tidak akan menjejaskan program bantuan Kerajaan termasuklah pemberian subsidi kepada pertanian bagi tujuan eksport.
Sebelumnya, beliau diajukan soalan oleh Che Alias Hamid (PN-Kemaman) berhubung pendirian Kerajaan terhadap isu CPTPP yang jelas memberi impak kepada sektor pertanian negara.
Beliau yang menjawab kepada pertanyaan tersebut turut mengatakan bahawa CPTPP itu tidak akan menyebabkan penghapusan duti import secara menyeluruh bagi barangan pertanian secara drastik.
Jelas beliau, barangan pertanian import menjadi kebergantungan utama Putrajaya di mana lebih 50 peratus daripada keperluan tempatan misalnya daging kambing dan lembu datangnya dari sumber import.
“Tambahan pula Malaysia tidak perlu menghapuskan sepenuhnya duti import bagi ayam, telur dan beberapa produk lain di bawah CPTPP dan masih boleh mengekalkan sistem kuota kadar tarif,” katanya lagi.
Terdahulu, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) pernah menyatakan bahawa penternak, nelayan dan petani akan hilang perlindungan sekiranya CPTPP terlaksana.