Tempatan

Saya Pernah Bantah Isu Kalimah Allah 2014 – Noh Omar

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Tanjong Karang, YB Tan Sri Noh Bin Haji Omar menyatakan beliau pernah membantah isu penggunaan Kalimah Allah pada tahun 2014.

“Saya pernah membantah isu penggunaan kalimah Allah pada tahun 2014 selepas kenyataan Paderi Lawrence Andrew editor mingguan Katolik, Herald yang berkata bahawa gereja-gereja di Selangor akan terus menggunakan perkataan Allah dalam perhimpunan Bahasa Malaysia mereka.”

Tegasnya, peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan membenarkan orang Islam menyebarkan ajaran agamanya kepada bukan Islam, manakala orang bukan Islam pula dibenarkan menyebarkan agama atau kepercayaannya kepada orang atau pengikut agama lain, kecuali kepada orang Islam.

“Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa setiap individu berhak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agama atau kepercayaan masing-masing. Bagaimanapun, Perkara 11 (4) Perlembagaan menyebut bahawa penyebaran agama orang bukan Islam dalam kalangan orang Islam adalah dilarang. Ini bermakna, Perkara 11(4) memberi kuasa kepada negeri melalui badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang bagi mengawal penyebaran agama atau kepercayaan bukan Islam kepada orang Islam.”

Katanya lagi, hampir semua negeri termasuk Selangor sudah menggubal dan mempunyai enakmen kawalan dan sekatan penyebaran agama atau ajaran bukan Islam kepada orang Islam.

Hanya empat buah negeri sahaja yang belum menggubalnya.

“Selangor mempunyai Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang jelas melarang orang bukan Islam menggunakan perkataan Allah termasuk dalam penerbitan Bible berbahasa Melayu.”

“Saya pernah bertanya kepada mantan Menteri Agama PH berkenaan enakmen ini di Parlimen dan dimaklumkan hanya 4 negeri yang belum menggubal enakmen ini iaitu di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Mengakui keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam di luar dugaannya, YB Tan Sri Noh Bin Haji Omar yakin pihak Peguam Negara akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Bagi saya ini adalah keputusan di luar dugaan. Saya yakin pihak Peguam Negara akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.”

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut agama Kristian menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan Solat dalam buku agama dan penerbitan mereka mengejutkan umat Islam Malaysia.

Susulan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memutuskan tindakan susulan yang akan diambil daripada aspek perundangan selepas menerima alasan penghakiman secara bertulis daripada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam perkara ini.

Manakala PEMBELA pula akan mengadakan satu perjumpaan tergempar NGO Islam pada hari Ahad ini untuk memastikan semua bentuk cabaran yang cuba menghakis kedaulatan Islam dapat diuruskan dan ditangani mengikut lunas undang-undang yang dibenarkan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: