Tempatan

Kalimah Allah : Mahkamah Persekutuan Boleh Perintah Bicara Semula – Dato’ Dr Wan Ahmad Fauzi

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Isu kalimah Allah merupakan persoalan aqidah. Lantaran isu terhimpun dalam undang-undang peribadi orang Islam di bawah bidang kuasa Negeri.

Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan digubal dengan tujuan untuk memelihara aqidah orang Islam, yang memberikan kewajipan untuk menguatkuasakan undang-undang yang menyekat dakyah penganut agama dan dakyah ajaran agama lain selain Islam dalam kalangan orang Islam. Sungguh pun begitu selaras dengan bidang kuasa undang-undang peribadi orang Islam yang ditetapkan dalam Butiran I, Senarai II, Jadual Kesembilan, maka undang-undang Persekutuan tidak boleh mengatasi Undang-Undang Negeri dalam hal ehwal aqidah orang Islam.

Dari sudut sejarah perundangan, penggubalan Perkara 11(4) yang terjumlah dalam Bahagian Kebebasan Asasi, iaitu Perkara 5 hingga 13, mempunyai kaitan rapat dengan Perkara 3(1) dan (4) Perlembagaan Persekutuan. Lantaran penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang Persekutuan hendaklah dibuat secara harmoni dengan Undang-Undang Negeri yang digubal di bawah Perkara 11(4).

Undang-undang Persekutuan tidak boleh digubal dan ditafsirkan secara khilaf dengan Undang-Undang Negeri dalam perkara yang terletak dalam bidang kuasa Negeri seperti diperuntukkan oleh Perkara 75 dan 77.

Sebarang keputusan Mahkamah perlu memelihara maksud Perkara 11(4), yang merupakan tadbir urus kepada prinsip ketinggian agama Islam yang termaktub dalam Perkara 3(1) sebagai agama bagi Persekutuan serta kewajipan Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara agama Islam. Mahkamah kehakiman Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perkara 121 merupakan forum yang melaksanakan fungsi kuasa kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu menurut Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan dari aspek kehakiman. Justeru, sebagai pihak yang diamanahkan untuk melaksanakan fungsi kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, maka setiap Hakim juga terikat dengan sumpah Yang di-Pertuan Agong. Lantaran, Hakim juga dikehendaki membuat ikrar seperti termaktub dalam Jadual Keenam.

Kes penarikan rayuan oleh KDN dalam kes penggunaan kalimah Allah, meletakkan tanggungjawab kepada Mahkamah Persekutuan untuk melaksanakan bidang kuasa pemantauan dan semakan am (general supervisory and revisionary) seperti diperuntukkan oleh Seksyen 81 Akta Mahkamah Kehakiman 1964. Mahkamah “may give such orders thereon, either by directing a new trial or otherwise, as seems necessary to secure that substantial justice is done”.

Ini adalah kerana Hakim Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur telah terkhilaf membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi tujuan agama selain Islam, maka menjadi kewajipan Mahkamah Persekutuan untuk menegakkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Amatlah diharapkan kedudukan undang-undang peribadi orang Islam seperti diperuntukkan oleh Butiran I Senarai II Jadual Kesembilan serta penguatkuasaannya di bawah undang-undang Persekutuan dihormati oleh semua pihak. Dalam penguatkuasaan Perkara 11(4), pastinya menuntut tindakan secara harmonis kepada tindakan eksekutif juga pentafsiran mengikut kaedah yang sama oleh Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa tersebut.

Pautan Asal: FB Ibn Wan Husain Wan 

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: