Pendapat

Keputusan Kalimah Allah, Baitullah, Kaabah & Solat: Mana Pula Hak Orang Islam Dalam Beragama? – Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

Penghakiman Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan penganut agama Kristian menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan Solat dalam penerbitan pendidikan agama itu (bukan merujuk kepada Allah, Baitullah, Kaabah dan Solat yang difahami oleh umat Islam) merupakan salah satu dari titik-titik hitam yang telah tertumpah ke atas perjuangan memartabatkan perundangan Islam dalam negara ini. Walaupun terdapat syarat dikenakan iaitu, penafian hanya untuk orang Kristian dan lambang salib mestilah diletakkan di hadapan kulit buku, ia sangat mengejutkan umat Islam arus perdana.

Sehingga kini, saya masih belum mendapat akses kepada penghakiman penuh keputusan tersebut. Oleh yang demikian, saya tidak dapat memberi komentar kepada penghakiman itu. Walaupun begitu, penghakiman Mahkamah Tinggi ini dilihat bertentangan dengan penghakiman Mahkamah Persekutuan di dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur v Menteri Dalam Negeri. Mahkamah Tinggi perlu menjelaskan kenapakah ia tidak mengikuti ‘precedent’ Mahkamah Persekutuan tersebut.

Pihak-pihak di dalam prosiding Mahkamah Tinggi tersebut mestilah merayu terhadap keputusan hari ini ke mahkamah yang lebih tinggi lagi. Selepas satu, satu, kes cabaran terhadap perundangan Syariah dibuat.

Sebagaimana dalam laporan media, penghakiman dilaporkan sebagai menjamin hak Perlembagaan untuk mengamal agama seseorang yang dikatakan disekat oleh keputusan Menteri. Hakim Mahkamah Tinggi dilaporkan berkata, mahkamah membenarkan deklarasi yang dipohon kerana pemohon dijamin hak sama rata dan kebebasan beragama. Ironinya, beberapa minggu lepas apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Selangor tidak berperlembagaan dan tidak sah, tiada pula diulas hak orang Islam mengamalkan agamanya untuk tidak mengamalkan persetubuhan luar tabii dan tanggungjawab beragama mencegahnya.

Penghakiman Mahkamah Tinggi ini perlu diteliti dan dikaji kesannya. Setakat ini, undang-undang sekatan dan kawalan pengembangan agama bukan Islam berdasarkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan telahpun ada di semua negeri di Malaysia selain Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak. Pulau Pinang pula memasukkan kesalahan penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam di dalam Seksyen 5 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang. Negeri-negeri yang mempunyai undang-undang tersebut telah memperuntukkan kesalahan menggunakan kalimah-kalimah tersebut sebagai suatu kesalahan jika ia disebarkan kepada orang Islam bagi merujuk kepada agama bukan Islam.

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar 

Pautan Asal: https://www.facebook.com/ZainulRijal/posts/10221133343586850

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tiada kaitan dengan pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button