Tempatan

Isu Kalimah Allah: Pantauan Dewan Bahasa dan Pustaka Penyelesaian Terbaik – Haniff Khatri

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 16 April 2021 – “Pada pandangan saya, kerajaan berkewajipan membuat satu polisi membenarkan cetakan Bible Bahasa Melayu yang dipantau oleh Dewan Bahasa dan Pustaka supaya istilah Melayu yang betul digunakan,” kata peguam, Haniff Khatri dalam segmen ‘Kamar Haniff Khatri’ yang disiarkan dalam YouTube semalam.

Menurut Haniff, beliau percaya, kontroversi mengenai isu kalimah Allah tidak akan terjadi jika pihak kerajaan dan DBP membuat polisi tersebut.

“Kerajaan berkewajipan pada pandangan saya, membuat satu polisi membenarkan cetakan Bible Bahasa Melayu yang dipantau oleh Dewan Bahasa dan Pustaka supaya istilah Melayu yang betul digunakan. Makna kata, perkataan ‘God’ ataupun ‘Lord’ digantikan dengan ‘Tuhan’ bukan ‘Allah’.”

Ujar beliau lagi, melalui cara ini, pengamal dan penganut agama Kristian akan datang akan membiasakan diri menggunakan perkataan Tuhan dalam Bible mereka dan bukan kalimah Allah.

“Dan jika mereka sebut trinity sebagai ‘anak Tuhan’, ‘bapa Tuhan’ dan ‘roh Tuhan’ itu hak mereka, itu fahaman mereka, itu akidah mereka. Tetapi dia tidak akan menyebabkan salah faham kepada orang Islam kononnya ‘anak Allah’, ‘bapa Allah’, ‘roh Allah’.”

Mengakhiri segmen beliau yang bertajuk “Penjelasan Kes Mahkamah Kalimah Allah”, Haniff sekali lagi menyatakan, polisi pemantauan oleh DBP merupakan penyelesaian terbaik dalam isu penggunaan kalimah Allah untuk orang bukan Islam.

“Inilah penyelesaian, inilah penyelesaian jujur dan ikhlas berteraskan bukan sahaja kepada keadilan dan kesaksamaan, berteraskan kepada keadilan Islamiyah yang mengatakan kita perlu berlaku adil. “Kepadamu Agamamu, kepadaku Agamaku”.”

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lepas memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Islam iaitu Baitullah, Kaabah dan Solat, dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 15 Mac lepas.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button