Tempatan

Hak Istimewa Orang Melayu Dipertikaikan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

RABU, 02 Mac 2022 – “Hak istimewa orang Melayu atau Bumiputera banyak dipertikaikan malahan amalan dan cara hidup pun disalah erti.”

Kenyataan ini diluahkan oleh seorang individu dengan nama samaran Guru Kampungan melalui portal berita Utusan Malaysia 28 Februari baru-baru ini.

Antara perkara yang diluahkan oleh penulis adalah mengenai kedudukan agama Islam, institusi Raja-Raja Melayu dan tanah rizab Melayu.

Dalam isu kedudukan agama Islam beliau berkata, “Apabila bercakap soal kedudukan Islam sebagai agama rasmi, ia menjadi isu kepada kaum lain terutama melibatkan kalimah Allah dan azan. Ada tempat ibadat dipergunakan dan dibaling dengan najis.”

“Begitu juga ancaman puak Syiah, liberalisasi dan Islam, ajaran sesat serta kemunculan agama yang seakan Islam sehingga rakyat menjadi kebingungan. Ada yang sanggup mengancam hingga mengeluarkan perkataan ‘langkah mayat aku dulu’ untuk menjadikan hukum Islam atau hudud sebagai hukum negara,” ujarnya.

Dalam soal tanah pula, Guru Kampungan menyatakan bahawa tanah yang merupakan hak milik orang Melayu telah diambil alih atas dasar pembangunan dan ia dijual beli dengan harga yang rendah.

“Jika dilihat tanah rizab Melayu dan aset berkaitan Melayu dan Bumiputera di bandar sudah pupus sementara di pinggir bandar hampir pupus. Di kampung pula dipergunakan untuk tujuan pembangunan. Penduduk dipindahkan jauh untuk meneruskan hidup.”

Tambahnya, soal harga perumahan juga hangat diperkatakan.

“Harga kediaman di Lembah Klang, Putrajaya, Johor Bahru dan beberapa bandar lain meningkat antara RM500,000 ke RM 1 juta sebuah. Mana harga mampu miliknya?” persoal beliau.

Tidak cukup dengan itu, kaum lain dilihat mempertikaikan hak, kuasa dan keistimewaan institusi Raja-Raja Melayu sehingga ke tahap sanggup membawa isu berkaitan ke mahkamah.

“…segelintir rakyat semakin berani menghina institusi Raja-Raja Melayu. Jika buka Facebook dan Instagram, kita dapat lihat pandangan kaum lain yang jelik terhadap institusi ini.”

Kecewa dan gusar dengan situasi yang berlaku, Guru Kampungan berharap agar Kerajaan yang dipimpin oleh orang Melayu ini membuka mata dan membantu rakyat seadil-adilnya.

“Harapan saya agar kerajaan yang dipimpin oleh orang Melayu dan Bumiputera dapat buka mata dalam hal ini. Tanamkan semangat untuk membantu rakyat dengan adil dan saksama tanpa mengira kaum dan darjat,” kata Guru Kampungan.

Baru-baru ini, orang Melayu Islam dipanaskan dengan kenyataan dari seorang peguam, Ramkarpal Singh yang mendesak agar tiga orang kanak-kanak mualaf dimurtadkan.

Beliau mendakwa jabatan agama tersebut mungkin melakukan kesilapan kerana menganggap ibu mereka gagal untuk dikesan.

“Namun kini semua sudah jelas ibu mereka tidak pernah bersetuju supaya (anak-anaknya) memeluk Islam dan beliau mendapat hak penjagaan mutlak terhadap ketiga-tiga anaknya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lalu,” kata Ahli Parlimen DAP itu.

Leave a Reply

Back to top button