Tempatan

Kalimah Allah: Peguam Jill Lawrence Akan Bantah Permohonan MAIWP Dan MAIJ Untuk Mencelah

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

PUTRAJAYA, 09 Jun 2021 – Peguam, Annou Xavier yang mewakili Jill Ireland Lawrence Bill dalam kes Kalimah Allah menyatakan akan membantah permohonan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) untuk mencelah dalam rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung perkara ini.

“Kami akan membantah permohonan itu.”

Menurutnya, Mahkamah Rayuan menetapkan 12 Julai untuk pengurusan kes sementara membolehkan Ireland memfailkan afidavit bantahan terhadap permohonan MAINJ serta MAIWP itu.

Ini adalah percubaan kedua MAIWP untuk mencelah dalam kes penggunaan Kalimah Allah.

Sebelum ini, MAIWP memfailkan permohonan mencelah di Mahkamah Tinggi tetapi hanya dibenarkan bertindak sebagai amicus curiae (rakan mahkamah) untuk membantu mahkamah.

Peguam MAIWP, Fakhrul Azwan Abu Hasan berkata, pihaknya menerima arahan untuk memfailkan permohonan mencelah sekali lagi di Mahkamah Rayuan.

Pada 10 Mac lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Islam iaitu Baitullah, Kaabah dan Solat, dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 15 Mac lepas dan menyatakan akan mengeluarkan arahan pentadbiran berhubung penggunaan kalimah Allah.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebelum ini mengeluarkan titah melarang penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk yang mengandungi kalimah Allah di Selangor.

Baginda mengulangi pendirian bahawa kalimah Allah ialah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat kesempurnaan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: