Tempatan

Isu Kalimah ALLAH: Lebih 250 NGO Islam Tuntut KDN Kemukakan Rayuan Segera

KUALA LUMPUR, 15 Mac 2021 – “PEMBELA menuntut Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk merayu keputusan kalimah ALLAH ke mahkamah yang lebih tinggi dengan kadar segera dan meminta penangguhan pelaksanaan keputusan hakim tersebut sehingga kes rayuan selesai,” ujar Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Tuan Haji Aminuddin Yahya.

Menurut Tuan Haji Aminuddin, mereka amat terkejut dan kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati larangan penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam adalah salah dan tidak mengikut Perlembagaan.

“Ini bercanggah dengan keputusan ‘precedent’ Mahkamah Persekutuan sebelum ini.”

“Keputusan ini akan memberi ruang kepada penyalahgunaannya yang akan menyebabkan bukan sahaja kalimah ALLAH yang suci dan yang berkaitan akan dihina,” ujar beliau.

Justeru, PEMBELA mahu KDN mengeluarkan pekeliling baru pengharaman perkataan-perkataan Islam ini sekiranya penangguhan tidak dibenarkan.

“KDN perlu mengeluarkan pekeliling baru pengharaman penggunaan perkataan-perkataan tersebut jika sekiranya penangguhan itu tidak dibenarkan.”

PEMBELA semalam telah mengadakan perhimpunan tergempar di Kelab Sultan Sulaiman bagi membincangkan perkara ini seraya mengemukakan enam tuntutan kepada pihak yang berkaitan.

Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH, Baitullah, Kaabah dan Solat dalam penerbitan agama itu untuk pendidikan dalam komuniti mereka dengan syarat penerbitan buku agama atau bahan keagamaan Kristian yang menggunakan empat kalimah itu disertakan dengan penafian (disclaimer) pada kulit buku.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button