PRN: Terengganu Larang Kempen Di Masjid, Surau
KUALA TERENGGANU, 14 Julai 2023 – Terengganu menguatkuasakan larangan ke atas sebarang aktiviti membabitkan kempen pilihan raya atau program yang berunsurkan politik di mana-mana masjid mahupun surau di negeri tersebut menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, larangan tersebut mendapat perkenan daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 09 Julai lalu.
Beliau berkata, semua ahli politik dan aktivis dilarang untuk menjadi khatib dan imam bagi solat Jumaat malah, individu-individu tersebut juga dilarang untuk menyampaikan sebarang kuliah mahupun ceramah di masjid dan surau sepanjang tempoh berkempen tidak lama lagi.
BACA JUGA: China & ASEAN Teruskan Rundingan Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas
BACA JUGA: 8 Plaintiff Akan Kemukakan Laporan Perubatan, Sebagai Bukti Prasarana Cuai
BACA JUGA: Pencemaran Toksin Kulat Ancam Penternak Kecil
Dalam masa yang sama, apa-apa program mahupun aktiviti kempen oleh mana-mana parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut dilarang sama sekali.
Jelas beliau, tindakan penguatkuasaan larangan itu adalah bagi memelihara keharmonian dan kemuliaan masjid serta surau selain demi menjaga perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Institusi masjid dan surau tidak boleh dijadikan tempat kegiatan politik kepartian yang boleh memecahbelahkan perpaduan.”
Kata beliau, mana-mana agensi yang berhasrat untuk menganjurkan kuliah atau ceramah di masjid dan surau perlu mendapatkan kebenaran bertulis dari pihak MAIDAM.