PRU-15

PRU-15 : Jadikan Masjid Zon Aman Daripada Pengaruh Parti Politik – Mufti Kelantan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KOTA BHARU, 06 November 2022 – Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad mengingatkan orang ramai agar tidak menjadikan rumah ibadah seperti masjid, surau dan musolla sebagai tempat berkempen atau ceramah politik.

“Masjid, surau dan musolla ini kena bersih daripada kempen atau ceramah politik yang boleh mendatangkan fitnah, perpecahan dan perbalahan kerana selain tempat untuk kita beribadat ia juga merupakan tempat penyatuan ummah.”

Jelasnya, orang ramai perlu menghormati rumah ibadat tanpa diganggu-gugat oleh suasana yang boleh menimbulkan perbalahan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

“Oleh itu, masjid perlu dijadikan zon aman daripada pengaruh mana-mana parti politik dan perlu menghormati peraturan serta arahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri.”

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai agar melaporkan segera kepada pihak berwajib sekiranya terdapat mana-mana calon parti atau jentera yang menggunakan masjid, surau dan musolla sebagai tempat berkempen dan sebagainya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai hari pengundian Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15), manakala hari pengundian awal adalah pada 15 November ini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: