Peguam Rayu Permohonan Murtad Wanita Dibenarkan
KUALA LUMPUR, 25 Julai 2023 – Seorang peguam, Fahri Azzat, merayu kepada Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur untuk membenarkan anak guamnya, seorang wanita berusia 33 tahun untuk keluar daripada agama Islam.
Ujarnya, jika tidak, anak guamnya terpaksa keluar dari Malaysia bagi meneruskan kehidupan.
BACA JUGA: Bakar Al-Quran: Kementerian Luar Negeri Panggil Duta Sweden
BACA JUGA: Pemulihan Pantas COVID-19 Tarik Ekspatriat Dan Pelabur Global Ke Malaysia
BACA JUGA: Ajaran Sesat ‘Si Hulk’: Lantik Pakar Akidah Pulihkan Ketua & Pengikut – Presiden ASWAJA
Di depan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Azizah Nawawi semalam, Fahri berkata wanita itu tidak boleh kalah “5-0” di peringkat rayuan kerana sudah kehabisan wang ketika prosiding perundangan, dan beliau perlu mewakilinya secara “pro bono” (percuma).
“5-0” tersebut adalah pelbagai prosiding perundangan yang telah dilalui wanita itu: Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan yang menolak permohonannya untuk meninggalkan Islam dan memeluk agama Buddha dan Confucianisme; Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan menolak permohonannya untuk meninggalkan Islam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman untuk menyemak semula proses Mahkamah Syariah membuat keputusan, serta kemungkinan jika permohonannya ditolak di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.”
“Ini penting untuknya. Jika (dia kalah) 5-0, maka saya terpaksa beritahu dia yang dia tiada kebebasan beragama.”
“Jika dia ingin meneruskan kehidupannya, maka saya perlu beritahu dia untuk keluar (dari Malaysia), yang itulah perkara yang perlu dihadapinya.”
Kata Fahri lagi, semakan kehakiman yang difailkan oleh anak guamnya di Mahkamah Tinggi sivil bukanlah permohonan untuk keluar agama Islam atau murtad sebaliknya bagi mengkaji keputusan Mahkamah Syariah yang tidak membenarkan beliau murtad.
Katanya lagi, Mahkamah Sivil boleh menggunakan bidang kuasanya untuk menentukan sama ada keputusan Mahkamah Syariah dibuat mengikut undang-undang.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dalam hujah balasnya dalam kes ini berkata, Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan menghalang Mahkamah Sivil daripada masuk campur dalam soal seperti permohonan meninggalkan agama yang terletak di bawah kuasa Mahkamah Syariah.
Ahmad Hanir berkata wanita itu sendiri dalam afidavitnya tidak menafikan dia dilahirkan sebagai seorang Islam oleh ibu bapa beragama Islam, di Johor pada 1990.
Mahkamah Rayuan menetapkan 28 Ogos ini untuk memutuskan rayuan kes.