Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Tolak Permohonan Wanita Keluar Islam
GEORGETOWN, 04 Ogos 2023 – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan seorang wanita mualaf untuk meninggalkan Islam dan kembali kepada agama asalnya iaitu agama Kristian.
Menurut alasan penuh keputusan 26 Jun oleh Hakim Quay Chew Soon yang disediakan pada minggu ini, wanita tersebut telah memeluk Islam dan menggunakan nama Islam tetapi tidak mengamalkan kepercayaan agama Islam dan lebih kepada hanya berkahwin dengan lelaki Islam.
Kemudiannya, wanita tersebut memperoleh tiga orang anak hasil daripada perkahwinan tersebut dan anaknya dibesarkan sebagai orang Islam. Bagaimanapun perkahwinan tersebut hanya bertahan selama 18 tahun dan berakhir dengan penceraian pada tahun 2013.
Wanita berkenaan seterusnya telah pergi ke Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 2016 untuk meninggalkan Islam selepas mengesahkan akuan berkanun bahawa dirinya sentiasa mengamalkan agama Kristian.
BACA JUGA: PRN: Rakyat Mahu Wakil Rakyat Dipilih Mampu Selesai Masalah Banjir
BACA JUGA: Rampasan 47 Ular Dibawa Penumpang Dari Malaysia, JKDM Beri Penjelasan
BACA JUGA: Bonda Sultan Mangkat: Terengganu Larang Sebarang Himpunan Hiburan Sampai Isnin
Walau bagaimanapun, permohonan wanita tersebut ditolak Mahkamah Tinggi Syariah Selangor biarpun selepas melalui 12 sesi kaunseling Syariah selama setahun dan memberi keterangan di mahkamah mengenai kepercayaan dan gaya hidupnya selain turut memanggil seorang bishop untuk memberi keterangan bagi pihaknya.
Berikutan Mahkamah Rayuan Syariah Selangor menolak rayuannya, wanita tersebut kemudiannya telah pergi ke Mahkamah Sivil Pulau Pinang pada April.
Dalam keputusannya, Quay memutuskan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai kuasa untuk mendengar perkara tersebut kerana Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan memberikan bidang kuasa eksklusif kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar perkara yang berkaitan dengan penolakan serta aspek agama Islam yang lain.