Murtadkan Wanita Islam: Suspek Dan Pasangannya Masih Diburu
JOHOR BAHRU – Polis Johor masih cuba mengesan keberadaan lelaki bukan Muslim yang dikenalpasti memurtadkan seorang wanita Islam bukan warga tempatan menerusi satu video tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, pihaknya sedang menyiasat sama ada suspek dan pasangannya sedang bersembunyi, berada di luar negeri ini atau sudah pun melarikan diri.
Pada 19 Februari lalu, polis sudahpun menyerbu kediaman suspek di sebuah rumah di Perjiranan Dato’ Onn. Namun, tiada sebarang tangkapan dibuat selepas pemeriksaan mendapati kediaman itu hanya didiami oleh ayah dan kakak suspek.
Dalam masa yang sama, Datuk Ayob Khan menasihatkan orang awam supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan provokasi selain memberi pihaknya menjalankan siasatan secara adil dan saksama.
“Kita akan ambil tindakan tegas, tak kiralah siapa pun, jika buat perkara yang tidak betul, tindakan akan diambil.”
Menurut Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), mereka tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kesalahan murtad melibatkan seorang wanita Islam warga Indonesia, kerana perbuatan itu dipercayai bukan berlaku di negara ini.
Akan tetapi individu berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah 1992 sekiranya kesalahan itu dilakukan di negara ini.
Susulan tularnya video itu, Ketua Media MUAFAKAT merangkap Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA, Haji Rashidi bin Haris berkata, mana-mana warga yang melanggar undang-undang, apatah lagi video berkenaan sudah menimbulkan perasaan tidak senang, resah dan marah umat Islam dengan sengaja, wajib diambil tindakan kerana tindakan tersebut amat biadap dan mendukacitakan.
Tindakan suspek juga secara jelas membuat provokasi dan mencabar Enakmen Syariah Negeri mahupun Perlembagaan yang jika tidak dikawal boleh merebak menjadi punca rusuhan antara kaum.