Bakar Al-Quran: Kementerian Luar Negeri Panggil Duta Sweden
PUTRAJAYA, 25 Julai 2023 – Kementerian Luar Negeri semalam memanggil Duta Sweden ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dr Joachim Bergström bagi menyatakan kecaman keras Kerajaan Malaysia terhadap tindakan mencemarkan al-Quran di Stockholm, Sweden, pada 20 Julai baru-baru ini.
Menurut satu kenyataan daripada Wisma Putra, insiden tersebut menandakan kali ketiga perbuatan keji itu berlaku di Sweden pada tahun ini selepas insiden pertama dan kedua pada Januari dan Jun 2023.
Dalam pertemuan tersebut, pihak Kementerian mengulangi bantahan dan kekecewaan Malaysia terhadap kerajaan Sweden kerana memberikan kelulusan dan membenarkan tindakan menghina al-Quran dilakukan berulang kali di negara tersebut dengan alasan kebebasan bersuara.
Biarpun cubaan untuk membakar al-Quran gagal dalam insiden baru-baru ini namun tindakan provokatif daripada pelampau yang membaling dan menyepak kitab suci tersebut telah menyinggung jutaan umat Islam di seluruh dunia.
BACA JUGA: Pemulihan Pantas COVID-19 Tarik Ekspatriat Dan Pelabur Global Ke Malaysia
BACA JUGA: Ajaran Sesat ‘Si Hulk’: Lantik Pakar Akidah Pulihkan Ketua & Pengikut – Presiden ASWAJA
BACA JUGA: REE Kedah: SPRM Masih Kesan Saksi Dari China
Pihak Kementerian turut menegaskan kepada Duta Besar negara tersebut bahawa kebebasan bersuara mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan mengambil kira sensitiviti agama masyarakat dunia yang pelbagai.
Hal ini kerana, tindakan tidak menghormati mana-mana agama berpotensi mencetuskan kebencian agama serta menjejaskan keharmonian dan keamanan dalam kalangan masyarakat yang mempunyai kepercayaan berbeza.
Berikutan itu, pihak Kementerian menggesa agar kerajaan Sweden menilai semula kelemahan dan penerapan kebebasan bersuara yang sama rata sekali gus mengambil langkah segera untuk menamatkan “islamofobia struktur”.
Dalam insiden baru-baru ini, seorang pelampau, Salwan Momika sekali lagi mencetuskan kekecohan selepas bertindak memijak dan menyepak kitab suci al-Quran di hadapan kedutaan Iraq di Stockholm.