Wanita Muslim Mohon Murtad Kerana Tak Pernah Ucap Syahadah
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 19 Jun 2022 – Seorang wanita Islam Malaysia memohon untuk murtad dengan alasan tidak pernah mengucapkan kalimah syahadah.
Wanita yang digelar sebagai “A”, 32, mendakwa, walaupun dilahirkan oleh ibu bapanya yang beragama Islam, namun dia tidak pernah mengamalkan langsung ajaran agama Islam.
Malah, dia juga tidak mempercayai ajaran-ajaran dalam agama Islam.
Lapor Malay Mail, peguam “A” berkata, wanita itu dibesarkan oleh ibunya yang beragama Islam selepas bercerai dengan ayahnya, tetapi “A” tidak pernah mengamalkan Islam kerana ibu bapanya tidak mengamalkannya dan ibunya tidak memaksa Islam ke atasnya.
Tambah Malay Mail, sebelum ini, “A” pernah memohon permohonan untuk murtad di Mahkamah Syariah.
Selepas ditolak, “A” mencabar keputusan Mahkamah Syariah yang tidak membenarkannya murtad bagi memeluk agama Konfusianisme dan Buddhisme di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Ujarnya, Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa atau kuasa untuk mengisytiharkan bahawa seseorang itu bukan lagi seorang Muslim.
Hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Kamal Md Shahid kemudiannya menolak permohonan “A” untuk izin mendapatkan semakan kehakiman.
Peguam wanita itu, Fahri Azzat mengesahkan bahawa permohonan anak guamnya untuk kebenaran semakan telah ditolak dalam keputusan yang dihantar melalui e-mel yang dihantar oleh jurubahasa mahkamah pada 3.28 petang, dan kos RM2,000 ditentukan pada 4.29 petang selepas penyerahan ringkas melalui emel.