Tempatan

KPK Komited Tingkat Daya Pengeluaran Komoditi

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 29 Jun 2024 – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sentiasa komited untuk meningkatkan daya pengeluaran sektor komoditi bagi membantu dan mengembalikan kestabilan ekonomi negara, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata demikian dalam penyata rasmi Sidang Dewan Rakyat bagi menjawab kepada soalan yang diajukan oleh Dato’ Sri Richard Riot Anak Jaem (Serian) berhubung apakah langkah-langkah untuk meningkatkan daya pengeluaran komoditi (lada, getah dan kelapa sawit) bagi membantu dan mengembalikan kestabilan ekonomi negara.

“Untuk Sektor Sawit, Kementerian melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sentiasa mempergiatkan penggunaan mekanisasi dan automasi dalam operasi ladang seperti usaha-usaha di bawah Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Kelapa Sawit (MARCOP) dan Program Insentif Mekanisasi dan Automasi untuk Komoditi.”

Katanya, MPOB turut memastikan penanam sawit terutamanya pekebun kecil mempraktikkan Amalan Pertanian Baik (Good Agricultural Practices) dan melaksanakan program tanam semula sawit secara bersepadu bagi memastikan pokok-pokok sawit tua dan tidak produktif ditebang dan ditanam semula dengan anak benih sawit yang berkualiti tinggi.

“Bagi Sektor Getah pula, Kementerian melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) komited untuk meningkatkan pengeluaran getah asli tempatan melalui Konsolidasi Kawasan Getah Terbiar Menggunakan Pendekatan Kluster.

“Selaras dengan Kerangka Strategik Malaysia Madani, KPK dengan penglibatan beberapa Kementerian lain, Agensi Pelaksana, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan ladang-ladang milik syarikat swasta yang berada dalam rantaian bekalan sedang membangunkan model kluster dan konsolidasi,” ujarnya.

Jelas beliau, penglibatan semua Agensi Pelaksana berkaitan getah secara bersepadu dan disokong oleh sektor pertengahan (pemprosesan) dan pengilang/pengeluar produk berasaskan getah (swasta) akan dijangka dapat merealisasikan harapan Kerajaan meningkatkan pengeluaran getah asli di negara pada masa akan datang.

“Berkenaan Sektor Lada, Kementerian melalui Lembaga Lada Malaysia (MPB) telah menggariskan kemampanan industri lada melalui jumlah hasil dan kualiti yang tinggi sebagai fokus utama untuk meningkatkan daya pengeluaran komoditi lada secara berterusan.

“Usaha dan inisiatif yang sedang dijalankan adalah melalui penyaluran bantuan khusus kepada pekebun kecil lada seperti Skim Tanaman Lada Baharu (STLB), Skim Tanaman Lada Matang (STLM) dan Pembangunan Pengeluaran Lada Premium (PPLP).”

Menurutnya, bantuan-bantuan tersebut bertujuan menggalakkan para pekebun kecil lada meningkatkan saiz kebun dan seterusnya berupaya meningkatkan jumlah kuantiti lada yang dihasilkan.

“MPB juga memberi pendidikan dan pendedahan kepada pekebun kecil lada di seluruh negara melalui kursus-kursus yang ditawarkan seperti Kursus Teknologi Penanaman Lada (KTPL) dan Kursus Pengeluaran Keratan Lada (KPKL).

“MPB turut menyasarkan peningkatan produktiviti lada melalui adaptasi teknologi Internet of Things (IoT) untuk meningkatkan kecekapan dan memodenisasikan kaedah penanaman lada,” ujar beliau lagi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: