Anggota Kesihatan Dilarang Tolak Pesakit – Menteri Kesihatan
KUALA LUMPUR, 18 Mac 2023 – “Semua anggota kesihatan di kaunter pendaftaran diingatkan untuk tidak menolak sebarang kehadiran mana-mana pelanggan yang ingin mendapatkan rawatan di klinik kesihatan bagi memenuhi pendekatan ‘No Wrong Door Policy’ yang telah dilaksanakan melalui Personalised Care (Family Doctor Concept)’“, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa sewaktu persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.
Tegas beliau, semua anggota kesihatan di ‘triage’ atau kaunter pendaftaran tidak boleh menolak kehadiran pesakit, khususnya yang berasal dari luar kawasan operasi klinik kesihatan.
BACA JUGA: Menu Siswa Rahmah RM3.50 Bantu Pelajar B40
BACA JUGA: Solat Terawih: Selangor Larang Guna Khidmat Imam Luar Negara
BACA JUGA: Orang Melayu Lemah, Mudah Pihak Lain Jalankan Agenda
Selain itu, beliau turut mengingatkan bahawa setiap pengamal perubatan telah mengangkat ‘Hippocratic Oath’ untuk memberi keutamaan rawatan kepada setiap pesakit tanpa mengira kaum, bangsa, mahupun kod etika pakaian.
“Secara prinsipnya, setiap pesakit wajib diberi keutamaan rawatan tanpa mengira kaum, bangsa, mahupun kod etika pakaian. Setiap pengamal perubatan termasuklah petugas-petugas perubatan perlu menjaga etika mereka setelah mengangkat ‘Hippocratic Oath’, khususnya para doktor dan pengamal perubatan termasuk kesediaan untuk membantu pesakit dengan sebaik mungkin.”
Dr Zaliha turut menyatakan ikrar bahawa tindakan segera akan diambil sekiranya KKM mendapat aduan daripada mana-mana pihak. Hal ini untuk memastikan kesihatan dan keselesaan rakyat sentiasa terjamin.
“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sangat komited untuk memberi perkhidmatan yang telus dan saksama kepada semua rakyat bagi memastikan penjagaan kesihatan yang berterusan,” kata beliau lagi.