Tempatan

Sah Kartel Ayam Memang Ada, Punca Makanan Ayam Naik Harga

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 29 Julai 2022 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengatakan bahawa hasil siasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menunjukkan kewujudan kartel ayam dalam kalangan 20 syarikat pengeluar ayam memang ada dan ia menjadi salah satu punca kepada kenaikan harga makanan ayam.

“Memang kita difahamkan ada masalah yang dikatakan (kartel ayam) tapi secara terperinci nanti biar kita tunggu MyCC buat pengumuman.”

Kata beliau, pihak MyCC sudah selesai menjalankan kajian dan segala siasatan namun disebabkan MyCC adalah suruhanjaya, beliau tidak dapat mendedahkan hasil siasatan tersebut.

“MyCC akan meneliti dan memperhalusi segala prosedur operasi standard (SOP) untuk mereka kemudiannya mendedahkan kepada umum,” ujar beliau sewaktu sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Kenyataan beliau itu adalah jawapan kepada soalan tambahan daripada Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) tentang hasil siasatan MyCC akan kewujudan kartel daripada 20 syarikat pengeluar utama ayam di negara ini.

Walau bagaimanapun, jelas beliau, pemantauan ke atas 20 syarikat pengeluar ayam pedaging utama yang meliputi tiga syarikat integrator dan 17 syarikat bukan integrator sedang dijalankan oleh kementeriannya.

Menurutnya, pemantauan itu bertujuan untuk merangka tindakan yang sewajarnya sekiranya risiko-risiko gangguan bekalan ayam pedaging di peringkat pengeluaran dapat dikesan lebih awal agar bekalan ayam di pasaran sentiasa stabil.

Dalam kenyataannya juga, kementeriannya akan membuat unjuran pengeluaran ayam pada setiap bulan supaya pihaknya dapat merangka pelan yang wajar apabila berlaku kekurangan ayam di pasaran.

Ia termasuklah pemeriksaan harian di setiap rantaian pengedaran seperti peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.

“Kita juga mengeluarkan arahan kepada peruncit untuk memperbaharui stok bekalan yang ada di premis masing-masing dan menghubungi pemborong dan pengeluar sekiranya stok mereka jatuh ke tahap pesanan semula,” tambahnya lagi.

Justeru, beliau mengatakan bahawa kementeriannya akan sentiasa mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri serta agensi-agensi Kerajaan yang terlibat bagi mengenalpasti punca dan mencari kaedah penyelesaian yang adil dan kondusif supaya isu kekurangan bekalan telur dan ayam ini dapat diatasi segera.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: