Tempatan

RUU 355 Akan Dibentang Di Parlimen Bersama RUU Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan)

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 27 Jun 2024 – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im memaklumkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 akan dibentangkan semula di Parlimen bersama RUU Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan).

Dalam persidangan dewan rakyat, beliau berkata kedua-dua RUU tersebut akan dibentangkan di Parlimen setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri bagi memastikan hasrat untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah dapat direalisasikan.

Sebelum ini, RUU 355 yang telah dipersetujui dan diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 26 Ogos 2022 tidak sempat untuk dibentangkan di Parlimen kerana terdapat perubahan Kerajaan selepas PRU-15.

Oleh itu, Memorandum Jemaah Menteri berhubung dengan pindaan tersebut perlu dibentangkan semula dalam Mesyuarat Jemaah Menteri untuk mendapatkan persetujuan dasar Kerajaan yang baharu.

“Bagi maksud tersebut, beberapa sesi libat urus dengan pihak berkepentingan telah dibuat untuk mendapatkan pandangan terhadap pindaan yang dicadangkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 iaitu sesi libat urus bersama Ketua Hakim Syarie Negeri-Negeri, Ketua Pendakwa Syarie Negeri-Negeri dan Ketua Penguatkuasa Agama Negeri-Negeri, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri bagi memastikan pindaan yang akan dibuat kelak mengambil kira semua aspek termasuklah konsep ta’dib dalam Islam dan selaras dengan prinsip maqasid syariah

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam juga akan meneliti cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. Laporan hasil kajian oleh Jawatankuasa Khas ini juga akan diambil kira dalam menggubal pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.“

Tambahnya lagi, cadangan pindaan kepada kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 akan dibentangkan terlebih dahulu dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja (MRR) untuk diperkenankan sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri untuk persetujuan dasar sebelum dibentangkan di Parlimen.

“Setakat ini, had bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah masih dalam peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Hajah Mumtaz yang minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan bercadang mengurangkan hukuman RUU 355 daripada cadangan asal pindaan 30 tahun penjara kepada 15 tahun, denda daripada RM100,000 kepada RM40,000 dan 100 sebatan kepada 40 sebatan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: