Terkini

Pas Perjalanan MY50 Mula 1 Januari 2022 – RapidKL

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 29 Disember – Pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan untuk penggunaan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana di Lembah Klang akan bermula pada 1 Januari ini, kata Menteri Pengangkutan Dato’ Sri Ir. Wee Ka Siong.

Pas perjalanan My50 ini menggantikan pas perjalanan tanpa had My30 yang diperkenalkan Kerajaan di bawah skim Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA pada bulan Jun 2020.

“Tempoh promosi untuk My30 berakhir pada 31 Disember 2021; dan ia akan diganti dengan pas perjalanan RM50 sebulan, yang diumumkan oleh YB Menteri Kewangan dalam cadangan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat pada 29 Oktober lepas,” kata Wee.

Terbuka eksklusif untuk warganegara Malaysia, pas perjalanan My50 ini menawarkan perjalanan tanpa had kepada menggunakan semua perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana seperti LRT, MRT, BRT, Monorel dan bas henti-henti Rapid KL serta bas perantara Jom Naik MRT dengan hanya membayar RM50 untuk tempoh penggunaan 30 hari berturut-turut.

Kemudahan pas perjalanan My50 turut disediakan di Pulau Pinang untuk penggunaan tanpa had perkhidmatan bas Rapid Penang di bawah label Pas Mutiara.

“Untuk Pulau Pinang, pas perjalanan akan dipanggil Pas Mutiara My50 dan boleh digunakan untuk bas henti-henti perkhidmatan Rapid Penang,” kata Wee, sambil menambah kata bahawa buat masa ini, kemudahan pas perjalanan itu belum dipanjangkan untuk Rapid Kuantan, yang merupakan satu lagi rangkaian perkhidmatan bas henti-henti kendalian Prasarana,” kata Wee lagi.

Tambah beliau lagi, walaupun pas perjalanan My30 berakhir pada 31 Disember ini, namun, mereka yang membeli pas perjalanan berkenaan dan Pas Mutiara pada hari berkenaan boleh terus menikmati kemudahan itu sehingga 30 Januari 2022 sebelum terpaksa beralih kepada pas My50.

Untuk pembelian di Lembah Klang, orang ramai boleh melanggan pas perjalanan My50 ini di pejabat-pejabat khidmat pelanggan Rapid KL di lokasi-lokasi berikut:
• Semua stesen LRT
• Semua stesen MRT
• Semua stesen Monorel
• Semua stesen BRT – Laluan Sunway
• Hab-hab Bas Rapid KL terpilih – Pasar Seni; Chow Kit; KLCC; Sri Nilam; Puchong Utama; Pearl Point; Sunway Pyramid; Greenwood dan Seksyen 2 Shah Alam.

Lokasi-lokasi pembelian di Pulau Pinang pula adalah di kiosk-kiosk terpilih Rapid Penang iaitu di KOMTAR, Weld Quay (Terminal B); Penang Sentral; Bukit Jambul; Ibu Pejabat Rapid Penang (Lorong Kulit); Kompleks Dato’ Kailan (Kepala Batas); Balik Pulau; dan Bukit Mertajam.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: