Tempatan

Kes Jill Ireland: Kalimah ‘Allah’, Apa Sebenar Yang Berlaku? – Haniff Khatri

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Semalam, media melaporkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill, yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

Laporan ini mengundang pelbagai kontroversi. Malayadaily telah menembual pengamal undang-undang terkenal Haniff Khatri yang mana beliau bertindak sebagai ‘rakan Mahkamah’ (Amicus Curiae) dalam kes tersebut.

MD.com: Berkaitan isu kalimah ‘Allah’, laporan ini agak mengejutkan, bagaimana Sdr. Hanif melihat perkara ini? Bagaimana ia bermula?

Peguam Haniff: Bermula di Mahkamah Tinggi, sekitar tahun 2008. Pada masa itu Mahkamah Tinggi diminta untuk melepaskan pelbagai bentuk CD percetakan yang diimport oleh Jill Ireland (Jill Ireland Lawrence Bill) yang dirampas di KLIA2.

Dan dia juga minta antara lain deklarasi bahawa mereka boleh gunakan perkataan-perkataan ‘Allah’ dan beberapa perkataan lain dalam cetakan Kristian.

Jadi, pusingan pertama di Mahkamah Tinggi, Mahkamah kata barang yang dirampas itu boleh dipulangkan, no issue. Itu milik mereka. Tapi perintah-perintah Mahkamah untuk mereka gunakan perkataan-perkataan tertentu dalam cetakan mereka, Mahkamah tak bagi.

Jadi, bila Mahkamah tak bagi mereka merayu ke Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan perintah tersebut. Bila Mahkamah Rayuan dengar (pusingan pertama), Mahkamah kata tiada masalah untuk Mahkamah Tinggi dengar permohonan mereka dan kalau Mahkamah Tinggi percaya perlu diberi deklarasi tersebut, bagilah. Kalau tak boleh diberi, tolaklah. Tapi kena dengar (kalau) nak buat keputusan.

Jadi, datang balik (pusingan kedua) di Mahkamah Tinggi, pada masa ini saya mewakili dua majlis. Majlis Agama Islam Selangor dan Majlis Agama Wilayah Persekutuan. Bukan sebagai Peguam Cara mereka, Peguam Cara mereka peguam lain. Tapi Peguam Cara itu melantik saya sebagai penasihat (counsell) untuk berhujah. Jadi kita berhujah.

Bila kita dah hujah, Mahkamah dah tetapkan keputusan tetapi dalam kes ini, sejak daripada Mahkamah tangguhkan keputusan, terdapat dekat 22 kali Mahkamah telah menangguhkan keputusan pada masa itu di atas permintaan Kerajaan melalui Peguam Negara. Kerana apa?

Perbicaraan dijalankan sebelum PRU-14, jadi selepas PRU-14, bila masuknya Pakatan Harapan 1.0 maka Jill Ireland telah cuba menghubungi Kerajaan baharu untuk cuba selesaikan.

Jadi pada masa itu Menteri Dalam Negeri, (Tan Sri) Muhyiddin Yassin telah kononnya membuat satu jawatankuasa bagi tujuan melihat sama ada perkara ini dapat diselesaikan melalui satu polisi umum dan masalah seperti ini tidak berulang lagi.

Tapi jawatankuasa itu tidak pernah membuat apa-apa keputusan untuk tempoh yang lama sehinggakan pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan antara lain mengatakan bahawa pihak Jill Ireland boleh menggunakan percetakan yang mengandungi perkataan ‘Allah’.

Kerana apa dia buat keputusan? Sebab pada masa itu berkaitan dengan satu arahan yang telah dikeluarkan oleh Kabinet di bawah tandatangan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu (Allahyarham) Tun Ghaffar Baba yang bertarikh 16 Mei 1986.

Dalam surat itu terdapat pelbagai perkataan yang sama ada tidak boleh digunakan langsung atau pun boleh digunakan dengan syarat terdapat di muka hadapan percetakan tersebut dinyatakan untuk agama Kristian sahaja.

Jadi arahan itu kalau kita tengok tahun 1986, dia dalam Bahasa Melayu penulisan (Allahyarham) Tun Ghaffar Baba masa tu. Dia mengatakan “Kabinet (Kabinet Tun Dr Mahathir) memutuskan saya sendiri, dan telah mengarahkan akan dia Anwar (Anwar merujuk kepada Anwar Ibrahim) dan James (James adalah James Ongkili) mengkaji perkara di atas.

Keputusan Jawatankuasa Tun Ghaffar Baba, Anwar Ibrahim dan James Ongkili

1. Perkataan2 di bawah ini boleh digunakan;
i. Al Kitab
ii. Firman
iii. Rasul
iv. Syariah
v. Iman
vi. Ibadah
vii. Injil
viii. Wahyu
ix. Nabi
x. Syukur
xi. Zikir
xii. Doa

Dan yang kedua perkataan-perkataan yang tak boleh dipakai;
i. Allah
ii. Kaabah
iii. Baitullah
iv. Solat

Kemudian perenggan bebas; dengan syarat di kulit luar yakni muka depan buku-buku itu ditulis perkataan ‘UNTUK AGAMA KRISTIAN’, sekian dimaklumkan ditandatangani TPM Tun Ghaffar Baba, 16 Mei 1986.

Maksudnya dalam fahaman biasa oleh semua pihak pada masa itu (Allahyarham) Tun Ghaffar Baba mengatakan keputusan Jawatankuasa boleh digunakan 12 perkataan itu adalah dengan syarat di kulit luar (buku) ada catatan tersebut dan 4 yang dikatakan tak boleh digunakan, maksudnya tak boleh langsung.

Dan perkara ini kemudiannya bila sampai kepada pihak kementerian iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) secara khusus, Bahagian Kawalan Penerbitan, pada 5 Disember 1986 mereka telah pun mengambil kira, mengguna pakai arahan Kabinet melalui kenyataan (Allahyarham) Tun Ghaffar Baba itu sebagai undang-undang yang perlu diterima pakai oleh semua kementerian.

Itulah menjadi dasar kenapa dalam kes Jill Ireland, CD-CD itu dirampas sebab terkandung perkataan ‘Allah’ dan yang mana menurut arahan (Allahyarham) Tun Ghaffar Baba seperti yang difahami oleh KDN di dalam arahan bertarikh 5 Dis 1986; perkataan itu tidak boleh digunakan oleh orang Kristian langsung.

Tetapi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Yang Arif tersebut telah (dalam menjawab permintaan Jill Ireland) perlu takrifkan apa maksud surat (Allahyarham) Tun Ghaffar Baba, 5 Mei 1986 dan apakah kesan Perlembagaan dan perundangan arahan kementerian tersebut.

Jadi dia membuat keputusan (membaca) bahawa yang 12 tu boleh digunakan tanpa apa-apa syarat. Yang 4 yang dikatakan tak boleh digunakan masih boleh digunakan dengan syarat di kulit depan ditulis.

Ini adalah soal takrifan (tafsiran), tapi (ia) penting sebab ini polisi Kerajaan. Mahkamah tidak akan mencampuri polisi Kerajaan melainkan untuk mentakrifkan polisi Kerajaan.

Mahkamah bukan nak mengatasi polisi Kerajaan tapi kalau dia takrifkan polisi Kerajaan ni A tapi apa yang dibuat oleh pihak penguatkuasa undang-undang adalah Z maka dia boleh perbetulkanlah. Itu yang dia buat dalam fahaman Hakim Mahkamah Tinggi.

Tapi bagi pihak kita yang pada masa itu kita mewakili dua majlis dan sini di Mahkamah Rayuan kita sepatutnya mewakili dua majlis (yang sama) termasuk Majlis Agama Islam Kedah.

Bagi kita, takrifan itu tidak tepat sebab apa yang dimaksudkan oleh Kerajaan pada masa itu, 12 itu boleh digunakan dengan syarat ada ‘warning’ di depan (buku), yang 4 tak boleh, dengan warning ke tanpa warning tak boleh guna.

Jadi isunya dan ini amat penting untuk setiap perkara berkaitan percetakan agama Kristian mahupun agama-agama lain. Yang menjadi satu isu penting untuk dibawa ke Mahkamah Rayuan. Nampak tak?

Dan, di Mahkamah Rayuan kita telah pergi pada 19 Jan 2023 untuk diberi hak sebagai Rakan Mahkamah (Amicus Curiae) menghujahkan nanti bila rayuan ditetapkan.

Jadi ini latar belakang kesnya.

MD.com: Jadi sekarang, apa yang berlaku?

Peguam Haniff: Mulai 19 Jan 2023 kita kena tunggulah bila Mahkamah akan panggil untuk pengurusan kes lanjut. Jadi dalam hal ini Mahkamah sebenarnya telah menetapkan 19 Mei 2023 hari Jumaat ini untuk panggil semua pihak bagi arahan tentang bila nak dengar rayuan, hujahan-hujahan, bila dan sebagainya.

Tetapi pada pagi tadi (15 Mei 2023) tanpa pengetahuan mana-mana pihak sebelum ini, peguam cara saya yakni yang mewakili 3 Majlis (Majlis Agama) telah menerima sepucuk surat daripada Pendaftar Mahkamah Rayuan. Untuk maklumkan bahawa Notis Rayuan yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara bagi pihak Kerajaan melawan keputusan Mahkamah Tinggi itu, telah ditarik balik melalui satu Notis Penarikan Balik (Rayuan) bertarikh 18 April 2023.

Oleh itu, Mahkamah telah pun membatalkan rayuan tersebut sebab dah ditarik balik dan melapangkan tarikh pengurusan kes 19 Mei ini. Habis.

Jadi, kalau surat itu tidak diterima daripada Mahkamah maka peguam cara Majlis (agama) dan secara langsung, Majlis tidak akan tahu tentang perkara ini. Mungkin sampai 19 Mei, bila peguam pergi Mahkamah nak tanya, tiba-tiba Mahkamah bagitahu, kes ini tiada lagi.

Tapi hari ini saya dapat tahu, 4 hari sebelum (Jumaat 19 Mei 2023, hari pengurusan kes) sebab Mahkamah yang maklumkan.

Soalan di sini banyak, yang perlu dijawab oleh pihak-pihak berkenaan.

Pertama yakni Kerajaan Malaysia sekarang, khususnya Kementerian Dalam Negeri iaitu Saifuddin Nasution. Yang kedua perlu menjawab ialah Pejabat Peguam Negara di bawah Tan Sri Idrus Harun. Apakah persoalannya?

Persoalan pertama, kalau Notis Penarikan Balik Rayuan sudah difailkan pada 18 April 2023 iaitu di hujung bulan puasa (Ramadan), belum Raya (Aidil FItri) lagi, kenapa tidak dimaklumkan kepada rakyat melalui kenyataan media oleh Kerajaan mahupun oleh Peguam Negara.

Kenapa tidak? Sedangkan isu ini adalah isu penting berkaitan penggunaan kalimah ‘Allah’. Itu yang pertama.

Yang kedua, bilakah Kerajaan telah membuat keputusan ini? Yang mengarahkan Peguam Negara menarik balik rayuan. Tak masuk akal keputusan dibuat pada 18 April 2023 dan pada hari yang sama ditarik balik. Semestinya ada tempoh.

Dan saya difahamkan oleh pihak media yang menghubungi saya bahawa apabila mereka bertanyakan perkara itu kepada Saifuddin Nasution (pagi tadi 15 Mei 2023). Saifuddin Nasution memaklumkan bahawa beliau telah mempersembahkan pendapat Kementerian Dalam Negeri kepada mesyuarat Jemaah Menteri berbulan yang lalu.

Kalau berbulan yang lalu lagilah parah daripada penarikan balik pada 18 April 2023.

Balik kepada soalan pertama tadi, kenapa kalau dah berbulan lalu Saifuddin Nasution mempersembahkan pandangan Kementerian Dalam Negeri untuk menarik balik rayuan, tidak ada pengumuman oleh Kerajaan? Kenapa tak ada pengumuman lanjut pada 18 April?

Itu berkaitan dengan kenapa tiada kenyataan media.

Adakah Kerajaan ingin sembunyikan perkara ini? Adakah Kerajaan tidak mahu rakyat mengetahui perkara sebenar hal yang berlaku di Mahkamah sehingga perkara itu sudah selesai?

Dan yang keduanya lanjutan daripada itu juga, apakah dia sebab Kerajaan menarik balik rayuan? Adakah Kerajaan menerima tafsiran surat (Allahyarham) Tun Ghaffar Baba bertarikh 16 Mei 1986 sepertimana yang dikatakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi? Yang menyebabkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa arahan daripada bahagian percetakan KDN bertarikh 5 Dis 1986 itu tidak sah, adakah mereka setuju dengan itu?

Sedangkan Kerajaan sekarang ni adalah diterajui oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang merupakan salah seorang daripada tiga orang jawatankuasa, yang ditubuhkan pada masa 1986 (yang diketuai oleh Tun Ghaffar Baba). Ini Anwar (PM) kena jawab.

MD.com: Sekarang, apakah kesan ke atas keputusan Kerajaan menarik balik rayuan ini?

Peguam Haniff: Satu persoalan penting akan ditanya oleh orang ramai adalah; apakah kesan daripada Kerajaan melalui Pejabat Peguam Negara menarik balik rayuan.

Dari segi perundangannya apabila rayuan ditarik balik, dan telah didaftar di Mahkamah sebagai telah ditarik balik, maka tidak boleh diteruskan lagi, tamatlah isu Jill Ireland di Mahkamah.

Apabila tamat maka keputusan yang kekal adalah keputusan terdahulu iaitu keputusan Mahkamah Tinggi 10 Mac 2021. Yang mana telah mengatakan bahawa arahan KDN 5 Dis 1986 adalah tidak berperlembagaan. Yang mana (Mahkamah) mengatakan bahawa arahan yang meminta atau mengatakan tidak boleh digunakan perkataan ‘Allah’dalam cetakan orang Kristian adalah tidak sah.

Maksudnya, bahasa mudahnya, pihak-pihak yang membuat cetakan/mengimport cetakan dan mengedar cetakan Kristian yang mengandungi perkataan ‘Allah’, berpandukan kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu boleh melakukannya, sehingga (berlaku) dua perkara (lanjut).

i. Sehingga perkara itu dicabar semula pada mana-mana kes lain. Yakni katakanlah wujudnya pengimportan di Kelantan dan Majlis Agama Islam Kelantan (sebagai contoh) atau Pulau Pinang atau Johor, mana-mana pun, mencabar penggunaan atau penjualan atau pengedaran cetakan yang mengandungi perkataan ‘Allah’ semula di Mahkamah, maka perkara itu akan (boleh) dipertikaikan lagi.
Pada masa itu, pihak yang menyokong percetakan yakni orang Kristian akan mengguna pakai keputusan Jill Ireland.

Tetapi pihak kita akan merujuk balik kepada keputusan kalimah ‘Allah’ No. 1 iaitu Roman Titular Catholic Archbishop tahun 2013 yang telah memutuskan bahawa dalam keadaan itu cetakan Kristian yang berkala dua minggu tidak boleh mengandungi perkataan ‘Allah’ yang dimaksudkan dalam konsep kepercayaan Kristian triniti.

Kalau nak guna perkataan ‘Allah’mestilah dalam bentuk monotism (keEsaan Allah), bukan triniti seperti Kristian.

Jadi kita akan datang balik ke Mahkamah jika itu berlaku untuk menghujahkan apa yang wajib dihujahkan di Mahkamah Rayuan jika tidak ditarik balik.

Kesannya adalah masalah ini dibenarkan dilanjutkan oleh Kerajaan. Kalau perkara ini patut boleh diselesaikan melalui Jill Ireland (kes No.2) kenapa Kerajaan tidak mahu selesaikan untuk biarkan Mahkamah memberi satu kata putus.

Mahkamah tertinggi iaitu Mahkamah Rayuan dan mesti pihak yang tak puas hati akan membawa ke Mahkamah Persekutuan. Biar Mahkamah Persekutuan ‘once and for all’, sekali gus selesaikan isu ini dan kemudian Kerajaan boleh gunakan keputusan Mahkamah sebagai panduan polisi lanjut.

Nampak tak? Kerajaan ini, Kerajaan perpaduan yang memanggil diri mereka sebagai Kerajaan Madani telah gagal.

(Keputusan tarik balik rayuan) seolah-olah mereka nak tangguhkan masalah ini kepada Kerajaan akan datang (untuk) selesaikan.

Ini tidak adil, ini (tidak) ikhlas, tidak jujur.

ii. Yang keduanya, jika betul Kerajaan ini jujur dan ikhlas maka mereka boleh keluarkan polisi baharu sekarang. Untuk menggantikan polisi yang dikatakan tidak sah oleh Mahkamah itu.

Jadi Kerajaan sekarang ni, Jemaah Menteri sekarang di bawah arahan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri boleh menubuhkan satu jawatankuasa baru. Yang merangkumi sesiapa yang mereka percaya perlu ada (dalam jawatankuasa).

Sama ada Menteri yang memegang hal ehwal agama, termasuk Menteri Dalam Negeri Termasuk Menteri Perpaduan nak duduk situ, siapa sekalipun untuk keluarkan satu arahan polisi, boleh atau tak boleh gunakan perkataan ‘Allah’, perkataan-perkataan yang seangkatan dengannya, yang penting (faedah) untuk ummah, untuk penganut agama Islam supaya tidak dicelarukan dalam fahamannya oleh penganut agama lain.

Pada masa yang sama untuk mengimbangi hak penganut agama lain. Tak semestinya mesti ada cetakan dalam Bahasa Melayu, ‘Allah’. Boleh dikatakan penggunaan dalam Bahasa Melayu guna perkataan ‘Tuhan’, bukan ‘Allah’.
Ada cara dia (penyelesaian). Tapi cara yang terbaik cuma akan berlaku jika Kerajaan ikhlas.

Jadi saya nak tanya Kerajaan, adakah arahan untuk menarik balik rayuan adalah untuk menubuhkan jawatankuasa membuat polisi terbaru? Kalau ya, baik. Kita berlaku adil, kita tunggu pengumuman polisi.

Tapi jika tidak ada, dan polisi itu untuk membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ dan kalimah-kalimah lain yang mempunyai maksud tertentu di bawah tauhid Islam, sebagai tercelaru atau berbeza mengikut kepada kepercayaan agama lain maka itu adalah salah. Dan Menteri Agama serta Perdana Menteri wajib menjawab perkara ini.

MD.com: Isu ini dikatakan sensitif, bagaimana perkara sensitif seperti ini boleh diurus dan diselesaikan dengan baik?

Peguam Haniff: Satu lagi perspektif yang sememangnya penting bagi saya, yang dizahirkan melalui perkembangan terkini kes Jill Ireland adalah mana-mana Kerajaan yang dipilih wajib menangani mana-mana masalah tak mengira sama ada ianya sensitif atau tidak.

Kita selalu mendengar Kerajaan mengatakan isu agama, isu bangsa adalah perkara sensitif. Sebab itulah Kerajaan dipilih, Kerajaan dipilih untuk menyelesaikan masalah sensitif sekalipun.

Kalau anda tidak berani selesaikan perkara sensitif, maka anda tidak layak menjadi Kerajaan, mana-mana Kerajaan.

Perkara ini berleluasa, isu tentang kalimah ‘Allah’ sejak Kerajaan Barisan Nasional, sejak Kerajaan Pakatan Harapan 1.0 di mana Menteri Dalam Negerinya Muhyiddin Yassin, berleluasa lagi bila Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri dengan meminta Mahkamah menangguhkan keputusan 22 kali dan sekarang ni dengan Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Madani Anwar Ibrahim menarik balik rayuan tersebut oleh pihak Peguam Negara.

Ini menunjukkan mereka takut nak menangani isu sensitif dan di situ mereka tidak jujur dan mereka gagal untuk bertindak sebagai satu Kerajaan yang cekap.

Saya syorkan rakyat tidak boleh membenarkan mana-mana Kerajaan menggunakan alasan sensitif untuk tidak menyelesaikan satu-satu masalah.

Masalah tidak boleh ditangguhkan ke masa hadapan. Mana-mana Kerajaan akan datang perlu menangani masalah itu juga.

Tidak bertanggungjawab. Tindakan seperti itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab oleh mana-mana Kerajaan.

Jadi rakyat berhak menyoal Kerajaan sekarang ini, kenapa tidak selesaikan isu yang mungkin berbunyi sensitif kerana melibatkan isu agama tapi merupakan tanggungjawab wajib untuk diselesaikan.

Bukan untuk ditangguhkan kepada Kerajaan akan datang dengan menarik balik rayuan. Sebab dengan menarik balik rayuan, pertikaian ini tidak diselesaikan.

Kalau di masa akan datang, mana-mana cetakan dirampas oleh mana-mana pihak berkuasa dan majlis agama tidak setuju dengan percetakan tersebut, maka perkara itu akan kembali ke medan Mahkamah. Masalah tak selesai.

Jadi ini sepatutnya peluang yang ada untuk selesaikannya. Kerajaan ini telah gagal.

Dengan ikhlas dan jujur saya mengatakan sebagai seorang pengamal undang-undang, Kerajaan (Madani) ini telah gagal dengan mengarahkan Peguam Negara menarik balik rayuan tersebut.

Pautan Asal: Malaya Daily

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: