Presiden ISMA Cabar MP Islam Gesa PM Tarik Balik Batal Rayuan Kalimah Allah
KUALA LUMPUR, 17 Mei 2023 – “Kita mahu mencabar semua Ahli-Ahli Parlimen Islam dalam Kerajaan untuk menggesa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mengarahkan penarikan balik pembatalan rayuan kes kalimah Allah,” tegas Presiden Ikatan Muslim Malaysia (ISMA) Ustaz Shuhaib Ar Rumy.
Menurutnya, jika mereka gagal berbuat demikian, ianya boleh dianggap kegagalan besar untuk mempertahankan kedudukan Islam dan mengkhianati seluruh umat Islam di negara ini.
Beliau berkata, PM perlu segera mengarahkan Peguam Negara menarik balik pembatalan rayuan terhadap kes kalimah Allah. Tindakan itu adalah bagi kepentingan umat Islam supaya kes tersebut melalui prosesnya seperti biasa di peringkat mahkamah dan juga menghilangkan keresahan umat Islam yang tidak setuju dengan pembatalan rayuan tersebut.
Tambahan, tindakan ini dilakukan secara tergesa-gesa tanpa meletakkan garis masa untuk mengambil pandangan semua pihak yang berkepentingan dalam isu ini termasuk Majlis Raja-Raja, Jabatan Agama Islam Negeri dan suara teramai, umat Islam, di negara ini.
Jelasnya, dalam hal-hal yang melibatkan keperluan harian rakyat seperti kenaikan harga barang, kenaikan kos sara hidup yang memerlukan penyelesaian segera, pihak Kerajaan seringkali memberi alasan untuk rakyat memberikan masa dan meminta rakyat bersabar untuk mereka menyelesaikan masalah tersebut.
“Tetapi mengapa dalam hal yang sepatutnya mereka ambil masa untuk membuat keputusan yang betul, mereka pula bertindak terburu-buru,” ujarnya.
Ustaz Shuhaib Ar Rumy berkata, Kerajaan tidak seharusnya membatalkan rayuan terhadap kes kalimah Allah ini kerana kes ini merupakan kes berkepentingan tinggi kepada umat Islam.
“Kita tertanya-tanya apakah penjelasan pihak Kerajaan Madani dalam hal ini yang secara terang-terangan boleh dianggap mereka tiada kemahuan politik (political will) untuk menjaga kedudukan dan kesucian agama Islam?”
“Kita mahu dengar apakah kebaikan dan manfaat yang nak dicapai oleh Kerajaan Madani dengan pembatalan rayuan kes Kalimah Allah ini? “soal beliau.
Tambahnya, perkara yang melibatkan kepentingan umum umat Islam di negara ini tidak wajar disembunyikan daripada pengetahuan masyarakat.
“Rakyat terutama umat Islam berhak untuk memberi pandangan dalam perkara yang menyentuh secara langsung hak dan kepentingan agama Islam di negara ini,” tegasnya.
Jelas beliau, Ahli-Ahli Parlimen Islam dalam Kerajaan Madani ini bukan sahaja gagal berperanan tapi boleh dianggap bersekongkol dengan pihak-pihak yang mahu usaha rayuan terhadap kes Kalimah Allah ini terhenti.
“Mereka gagal menunaikan janji mereka kononnya untuk menjaga kepentingan umat Islam dan bangsa Melayu.”
“Sudahkah mereka lupa semua janji-janji tersebut semasa mereka berkempen untuk mendapatkan undi-undi orang Melayu?” soal beliau lagi.
Justeru, amat wajar untuk semua Ahli-Ahli Parlimen Islam sama ada pihak Kerajaan dan pembangkang untuk bersatu dan mendesak supaya tindakan yang tidak bertanggungjawab seperti ini ditarik balik segera,” katanya.