Bukan Islam Guna Kalimah Allah: Sarjana Kristian Pun Bantah – Dr Muhamad Fadlly Ismail
Jangan lupa join Telegram, Instagram dan Facebook kami bagi mendapatkan berita terkini
KUALA LUMPUR, 19 Mac 2021 – Pensyarah Kanan Jabatan Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian Islam (FPI), Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Dr Muhamad Fadlly Ismail menegaskan, sebahagian sarjana dalam ajaran Kristian sendiri membantah penggunaan kalimah Allah dalam terjemahan Bible.
Ini kerana bagi mereka, penggunaan kalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam.
Ujar Dr Muhammad Fadlly, antara buktinya adalah melalui beberapa penulisan sarjana beragama Kristian sendiri seperti Izzat Andrew, Rob Phillips dan Jahja Iskandar.
“Izzat Andrew, seorang penganut Kristian Koptik di Mesir telah menulis sebuah artikel berbahasa Arab berjudul “Allah Bukan Tuhan Agama Kristian dan Yahudi” di mana beliau mengatakan kalimah “Allah” hanya berasal daripada penggunaan orang jahiliah yang merujuk kepada Tuhan Bulan. Ia tidak pernah termaktub dalam kitab-kitab Yahudi mahupun Nasrani. Tuhan bagi agama Kristian ialah Elohim.”
“Begitu juga pendapat Rob Phillips iaitu Pengarah Komunikasi Missouri Baptist Convention dan mubaligh Gereja Baptis melalui artikelnya bertajuk “Yahweh (the God of the Bible) vs Allah (the God of the Koran)” menyatakan bahawa Allah bukanlah Tuhan yang dinyatakan dalam Al-Kitab.”
“Dan sarjana Kristian, Jahja Iskandar seorang paderi dari Indonesia pula menyatakan dalam bukunya “Mengapa Nama Yahweh Semakin Popular” adalah kerana kalimah Allah adalah khas untuk umat Islam.”
Tegas Dr Muhammad Fadlly, isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam akan memberi kesan jangka panjang jika tiada tindakan larangan oleh pihak berkuasa atas dasar penjagaan kemaslahatan umat (al-Siyasah al-Syar’iyyah).
Jelasnya, kalimah Allah ‘Lafz al-Jalalah’ adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan agama bukan Islam dalam konteks semasa di negara ini.
“Seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Ikhlas ayat satu hingga empat yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang setara denganNya.”
“Ayat ini memberi penegasan Allah tentang wahdaniyyah dan keesaan-Nya yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam dan juga penegasan bahawa apa sahaja yang ada di dunia ini tidak serupa dengan Allah dan penolakan fahaman menyeleweng serta penyucian daripada keserupaan dengan makhluk.”
Oleh yang demikian, membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah itu semata-mata untuk menunjukkan Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudarat yang lebih besar pada agama dan umat Islam pada jangka masa panjang.
“Wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan,” ujarnya mengakhiri kenyataan.