Isu Kalimah Allah: PM Cuai, Buat Kenyataan Yang Mengelirukan
KUALA LUMPUR, 18 Mei 2023 – Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin menyatakan bahawa kenyataan Perdana Menteri berhubung penggunaan kalimah Allah disifatkan sebagai cuai dan mengelirukan.
Beliau yang berkata dalam sebuah kenyataan berkata, mengapa Kerajaan campuran PH-BN secara tiba-tiba tidak mahu membenarkan proses perundangan dan kehakiman mengikut Perlembagaan itu mengambil tempat.
Malah, beliau turut mempersoalkan mengapa Menteri Dalam Negeri bertindak tanpa menunggu keputusan Mahkamah Rayuan terlebih dahulu sedangkan isu kalimah Allah ini merupakan isu yang amat sensitif.
BACA JUGA: LIMA ’23: Ruang Udara Langkawi Ditutup 18-27 Mei Ini
BACA JUGA: Perlis Bina Telaga, Persediaan Darurat Iklim
BACA JUGA: Kerajaan Jamin Penggunaan Air Tidak Terjejas Sepanjang Musim Panas
“Tambah menyedihkan, bukan sahaja keputusan kontroversi itu dibuat senyap-senyap sehingga menimbulkan perdebatan tentang motif sebenar Kerajaan campuran PH-BN, bahkan Notis Pemberhentian bagi menyatakan niat untuk tidak meneruskan rayuan serta pemberhentian keseluruhan rayuan ini juga dibuat pada 18 April 2023, iaitu dalam bulan Ramadan,” katanya.
Jelasnya, keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada 2018 juga telah menegaskan bahawa Allah merupakan kalimah suci khusus dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama lain.
Keputusan itu juga diperkukuhkan lagi dengan titah Sultan Selangor, Sultan Johor serta Sultan Kedah bahawa kalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam dan melarang sama sekali penggunaannya dalam Bible atau percetakan apa-apa buku serta tulisan melibatkan agama Kristian dalam apa-apa bentuk sekalipun, tegas beliau.
“Lebih mengelirukan apabila Perdana Menteri sendiri semalam mengeluarkan kenyataan kononnya keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu hanya terpakai di Sarawak. Jelas, ini membuktikan Perdana Menteri seorang yang cuai, yang tidak meneliti keputusan Mahkamah,” katanya lagi.
Sehubungan itu, katanya, keputusan Kerajaan campuran PH-BN dalam menarik balik rayuan adalah salah dan tersasar sama sekali malah keputusan menarik balik rayuan berhubung isu ini menandakan bahawa Kerajaan pimpinan Perdana Menteri tidak sensitif terhadap isu kalimah Allah di mana ia boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia, memetik kenyataan beliau.
Menurut laporan samudera.my, Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyatakan kekesalannya dengan keputusan pihak Kerajaan yang menarik balik rayuan berhubung kes kalimah Allah itu.